Penerima dana 1MDB boleh selesai saman tanpa ke mahkamah, kata peguam

Penerima dana 1MDB boleh selesai saman tanpa ke mahkamah, kata peguam

Rundingan penyelesaian sukarela adalah lebih baik kerana ia jmenjimatkan kos guaman dan masa mahkamah.

Minggu lepas SPRM memfailkan saman pelucutanhak terhadap 41 individu dan entiti kerana didakwa menerima dana 1MDB daripada bekas perdana menteri Najib Razak.
PETALING JAYA:
41 individu dan entiti, termasuk Umno, yang berdepan saman bagi mendapatkan semula wang berjumlah RM270 juta, boleh merundingkan penyelesaian luar mahkamah dengan kerajaan, kata seorang peguam.

SN Nair berkata, mereka perlu membayar sejumlah wang yang dipersetujui yang didakwa diambil daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi mengelakkan perbicaraan yang berpanjangan.

“Mereka kini lumpuh kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan akaun masing-masing. Rundingan sukarela lebih baik kerana ia juga menjimatkan kos guaman dan masa mahkamah,” katanya.

Nair berkata demikian sebagai respons terhadap langkah SPRM memfailkan saman pelucutanhak minggu lepas ke atas 41 individu dan entiti bagi mendapatkan semula wang yang didakwa dipindahkan daripada akaun bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, saman sivil itu dibuat di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

SN Nair.

Beliau berkata, penerima terbesar dana tersebut merupakan Umno negeri dan bahagian berjumlah RM212 juta.

Nair berkata, berdasarkan laporan media, sesetengah penerima dana tersebut menyatakan kesediaan mereka bekerjasama dengan SPRM dan mencari penyelesaian terbaik.

“Itu petanda baik bahawa defendan bersikap pragmatik dalam menamatkan masalah mereka secara menang-menang,” katanya kepada FMT.

Peguam A Srimurugan berkata, 41 defendan terbabit harus bersedia menyelesaikan masalah mereka kerana beban di pihak kerajaan untuk membuktikan pengubahan wang dalam kes sivil adalah lebih rendah berbanding pendakwaan jenayah.

A Srimurugan.

“Dalam kes sivil, kerajaan hanya perlu membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian, berbanding ujian melampaui keraguan munasabah dalam kes jenayah,” katanya.

Srimurugan berkata, peguam negara tidak terhalang untuk memfailkan pertuduhan pengubahan wang ke atas mana-mana pihak yang menerima wang yang digubah daripada Najib.

“Berbeza kes sivil, tidak ada had masa ditetapkan ke atas pemfailan pertuduhan kerana pengubahan wang,” tambah beliau.

Katanya, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Amla dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda 5 kali ganda jumlah terlibat atau RM5 juta.

Dalam pada itu, peguam R Kengadharan berkata, kerajaan beruntung sekiranya penyelesaian berjaya dicapai, termasuk jika defendan bersedia mengembalikan wang terbabit dalam bentuk tunai.

“Proses mendapatkan semula wang itu rumit walaupun jika mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan.

“Masalah berikutnya ialah penguatkuasaan keputusan mahkamah kerana ia mungkin melibatkan pemfailan prosiding kebankrapan ke atas individu, menjejak pesaka orang yang telah meninggal dunia yang menerima dana tersebut atau mencairkan harta tidak boleh alih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.