Dewan penyokong PAS pertahan dasar pendidikan kebangsaan, kaji semula pendirian sokong UEC

Dewan penyokong PAS pertahan dasar pendidikan kebangsaan, kaji semula pendirian sokong UEC

DHPP menentang sebarang usaha untuk mewujudkan aliran pendidikan yang akan memecah belahkan masyarakat.

Pengerusi DHPP N Balasubramaniam ketika ucapan pada sesi penggulungan muktamar tahunan PAS ke-65 di Kuantan hari ini.
KUANTAN:
Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) hari ini menyatakan pendirian berbeza dengan perwakilan sayap itu semalam yang menyokong pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Persendirian Cina (UEC).

Pengerusi DHPP N Balasubramaniam berkata, pihaknya akan mengkaji semula pendirian sayap dewan penyokong parti Islam itu berhubung isu UEC selaras dengan pendirian PAS Pusat.

“Berkenaan isu UEC yang dibangkitkan perwakilan DHPP semalam DHPP secara asasnya menyokong dan mendokong dasar pendidikan kebangsaan sedia ada yang menjadi salah satu elemen ke arah pembentukan perpaduan nasinoal melalui pendidikan.

“DHPP juga menentang sebarang usaha untuk mewujudkan aliran pendidikan yang akan memecah-belahkan masyarakat. DHPP akan melihat semula isu ni supaya selaras dengan pendirian PAS Pusat yang saya yakin dibuat atas kepentingan negara,” katanya.

Balasubramaniam berkata demikian ketika sesi ucapan perggulungan muktamar tahunan PAS kali ke-65 yang bermula pagi ini.

Semalam pada sesi perbahasan ucapan dasar, perwakilan DHPP Kong Tuck Wah menyokong pengiktirafan UEC Kengan berkata, isu pendidikan dan agama tidak seharusnya dilibatkan dalam politik kerana ia sensitif.

“Kami di DHPP kita sokong UEC. Isu agama dan pendidikan sensitif dan tak perlu digunakan sebagai senjata politik dan dijadikan ugutan. Ia sepatutnya dihormati,” katanya.

Muktamar PAS ke-64 tahun lalu yang diadakan di Kuala Terengganu sebulat suara mengundi menolak cadangan kerajaan persekutuan untuk mengiktiraf UEC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.