Suhakam mungkin diwakili setiausaha di dialog hak asasi

Suhakam mungkin diwakili setiausaha di dialog hak asasi

Setiausaha Cheah Swee Neo menyelia fungsi dan program Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.

Suhakam masih berfungsi dengan setiausahanya bertindak sebagai ketua dalam tempoh interim.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mungkin diwakili setiausahanya di suatu dialog kebangsaan peringkat tertinggi mengenai perniagaan dan hak asasi pada Isnin.

Setiausaha Cheah Swee Neo sekarang ini menyelia fungsi dan program suruhanjaya itu, kata jurucakapnya kepada FMT.

“Kami masih menghadiri mesyuarat dan program. Pada masa ini, setiausaha kami yang bertanggungjawab, dibantu oleh 3 timbalan setiausaha.

“Suhakam masih berfungsi dengan Cheah bertindak sebagai ketua dalam tempoh interim ini,” katanya.

Suhakam menjadi perhatian apabila pengkritik menonjolkan kelewatan melantik pesuruhjaya baru bagi tempoh sesi 2019-2022.

Tempoh jawatan 7 pesuruhjaya Suhakam, yang berada di puncak pertubuhan itu, tamat pada 25 April lepas.

Tarikh akhir permohonan untuk pesuruhjaya baru adalah pada November lalu dan sebuah jawatankuasa pemilihan bersidang pada awal tahun ini.

Jabatan Hal Ehwal Undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, Suhakam dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akan secara bersama menganjurkan Dialog Kebangsaan Peringkat Tertinggi Mengenai Perniagaan & Hak Asasi Manusia.

Dialog itu susulan kepada penyertaan Malaysia di Forum Asia Selatan PBB Mengenai Perniagaan & Hak Asasi Manusia di New Delhi tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.