
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata permohonan yang difailkan di bawah Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 itu bertujuan mendapatkan kembali RM270 juta dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun Najib dan kemudian kepada 41 individu serta entiti terbabit.
Beliau berkata, penerima terbesar wang itu adalah beberapa bahagian dan cawangan Umno yang berjumlah RM212 juta.
Katanya, SPRM sehingga kini mendapatkan semula RM919 juta daripada skandal 1MDB, dengan kebanyakannya daripada syarikat penerbitan filem Red Granite, Hotel Park Lane di New York dan aset lain melalui Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
“Sejak bermula siasatan membabitkan kes ini, langkah untuk mendapatkan wang dari 1MDB sudah kita lakukan dan kita sudah mendapatkan RM919 yang diberikan secara sukarela oleh pihak yang menerima wang berkenaan.
“Langkah kedua ini adalah untuk kita dapatkan permohonan mahkamah. Kita mahu lakukan langkah yang lebih praktikal dan mendapatkan wang ini secepat mungkin,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini.
Latheefa berkata, semua penerima wang dari akaun Najib adalah individu atau entiti tempatan yang berada di dalam negara dan penerima itu perlu menjelaskan alasan mereka menerima wang berkenaan.
“Tidak kisahlah anda terkejut atau tidak, orang yang menerima duit ini sepatutnya ambil tahu dari manakah wang itu berasal.
“Hal ini kerana mereka tidak boleh sebegitu saja terima wang. Jadi, mereka perlu buktikan di mahkamah, dari manakah wang berkenaan diperolehi.”
Katanya, pendakwaan terhadap individu serta entiti itu akan digugurkan secara automatik, jika mereka memulangkan wang berkenaan.
“Semua penerima wang ini menerimanya dari satu akaun bank. Mereka boleh datang secara sukarela dan berikan kembali wang berkenaan, kita tidak akan ambil tindakan pendakwaan. Untuk mereka katakan tidak tahu, tidak boleh dijadikan asas.”
Pendengaran kes bagi individu serta entiti itu akan dilakukan secara berasingan mulai 25 Jun ini, 10 Julai, 24 Julai dan 31 Julai nanti.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Azam Baki berkata, sebuah pasukan khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat untuk menyiasat semua aset luar negara berkaitan 1MDB.
Setakat ini, katanya, SPRM masih dalam proses perbincangan dan pasukan khas itu akan diketuai Pusat Governans, Integriti danAnti Rasuah Nasional (GIACC).
“Jumlah keseluruhan aset luar negara bernilai hampir AS$5 bilion yang melibatkan aset-aset seperti hartanah dan pertukaran wang asing.
“Antara negara dikenal pasti termasuklah AS, United Kingdom dan Hong Kong,” katanya yang menjangkakan pasukan kash mengenal pasti lebih banyak negara mempunyai kaitan dengan 1MDB.