Peguam Negara mohon tangguh kes 1MDB Najib ke Oktober

Peguam Negara mohon tangguh kes 1MDB Najib ke Oktober

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International dijangka memanggil 25 saksi lagi.

Peguam Negara Tommy Thomas. berkata, perbicaraan kes SRC International berjalan lebih perlahan daripada jangkaan.
KUALA LUMPUR:
Peguam Negara Tommy Thomas hari ini memohon untuk melewatkan perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib Razak atas pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa ke bulan Oktober depan dari jadual asalnya yang dijangka bermula 19 Ogos ini.

Tommy memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, ia dibuat kerana perbicaraan kes SRC International melibatkan bekas perdana menteri itu sedang berjalan.

Katanya, tidak mungkin pasukan pendakwaan dalam kes SRC International dapat menyudahkan kes tersebut menjelang 15 Ogos bagi membolehkan pasukan pendakwaan kes 1MDB mengambil alih pada 19 Ogos.

“Saya mahu memberitahu mahkamah bahawa kita telah memanggil 40 orang untuk memberi keterangan setakat ini dan akan memanggil 25 lagi.

“Perbicaraan berjalan lebih perlahan daripada jangkaan kita,” katanya, dengan menambah bahawa perbicaraan kes 1MDB patut ditangguhkan ke 1 Oktober.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah meminta Thomas hadir semula pada 15 Julai bagi memberi kemas kini mengenai kemajuan kes SRC International.

“Anda boleh hadir semula pada 15 Julai. Jadi anda akan berada pada kedudukan lebih baik untuk bercakap tentang kemajuan (kes),” katanya.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa September lepas berkait dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank milik beliau.

Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah sebanyak RM2.28 bilion pada Februari 2011 dan Disember 2014.

Beliau juga dikatakan memindahkan dana haram sebanyak RM2.28 bilion itu ke akuan bank beliau dan kemudiannya menggunakan wang tersebut.

Mahkamah Tinggi berasingan kini mendengar kes SRC International melibatkan Najib atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah.

Perbicaraan akan bersambung pada 1 Julai dengan bekas pengarah syarikat tersebut, Suboh Md Yassin dijangka menyambung keterangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.