Kegawatan beri peluang negara struktur semula ekonomi, kata pakar

Kegawatan beri peluang negara struktur semula ekonomi, kata pakar

Isi rumah tidak harus terlalu bergantung pada 'makan gaji', tetapi beralih kepada pendapatan daripada perniagaan dan keusahawanan.

Pakar ekonomi berkata, ramalan tentang kegawatan ekonomi yang dijangka melanda negara hujung tahun ini tidak perlu menimbulkan suasana panik, sebaliknya harus mendorong kerajaan mengambil langkah menstruktur semula ekonomi.
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi berkata, beliau mempunyai pandangan berbeza dengan penasihat kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Jomo Kwame Sundaram berhubung tempoh sukar bagi rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi.

Prof Barjoyai Bardai berkata, kegawatan membolehkan kerajaan untuk menstruktur, mencekapkan semula ekonomi dan meningkatkan kapasiti.

“Kita perlu lihat kegawatan yang dijangka berlaku pada akhir tahun ini atau awal tahun depan sebagai satu peluang, bukan satu permasalahan atau kekangan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Jomo bahawa rakyat Malaysia perlu bersedia mengharungi tempoh sukar akan datang memandangkan ekonomi kini berdepan masalah di tengah-tengah situasi luaran yang tidak dapat diselesaikan, malah semakin bertambah buruk hampir setiap hari.

Isnin lalu, Jomo berkata, kebanyakan masalah itu berada di luar kawalan kerajaan dan rakyat sewajarnya bersedia untuk melalui keadaan itu.

Dalam pada itu, Barjoyai berkata, ketika berlakunya kegawatan ekonomi, kerajaan tidak perlu bertikndak memacu ekonomi dengan serta merta, sebaliknya melancarkan projek pembangunan yang boleh mengubah struktur dan meningkatkan kapasiti ekonomi.

Beliau berkata, ekonomi Malaysia pada masa ini agak pincang sedikit kerana ia terlampau menekankan kadar pembangunan yang cepat.

“60 tahun lepas, ekonomi Malaysia dipacu untuk tumbuh dengan cepat dan ia berjaya dilaksanakan. Malaysia sudah hampir menjadi negara maju kerana usaha ini.

“Tetapi kesan sampingan sangat jelas. Susulan strategi ini pengagihan kekayaan dan pendapatan sangat runcing sehingga hanya beberapa kumpulan kecil dalam ekonomi menjadi kaya dan mendapat kemudahan besar, sedangkan majoriti penduduk masih miskin,” katanya.

Barjoyai berkata, antara perubahan struktur ekonomi yang boleh dilakukan ialah menyemak semula kadar gaji dan meningkatkan produktiviti kakitangan awam.

Kata beliau, sekiranya ia dapat dilakukan, pastinya langkah itu akan diikuti oleh sektor swasta yang akan turut meningkatkan gaji dan produktiviti.

“Kemudian perlu galakkanisi rumah di Malaysia untuk terlibat dalam perniagaan dan keusahawanan melalui perniagaan mikro. Ini kalau dapat dilakukan boleh melebarkan sedikit peluang perniagaan kepada kumpulan ini.

“Misi pentingnya ialah mengurangkan kebergantungan isi rumah dan penduduk Malaysia pada pendapatan makan gaji kepada pendapatan perniagaan dan keusahawanan,” katanya.

Barjoyai berkata, konsep rumah mampu milik juga menjadi satu kekangan apabila permintaan terhadap rumah sedemikian sangat besar, tetapi penawarannya tidak dapat dilakukan dengan cepat dengan kos murah.

Katanya, kegawatan ekonomi membuka peluang untuk wujudkan skim penyewaan dan pembelian jangka panjang.

“Misalnya boleh wujudkan koperasi pembangunan yang akan membina rumah dengan kos murah kerana tak ada untung dan kemudian menyewakan dengan janji menjual kepada penyewa.

“Ini boleh dilakukan dengan cekap dan cepat serta boleh wujudkan 2 hingga 3 juta rumah dalam masa 2 atau 3 tahun,” katanya.

Seorang lagi pakar ekonomi, Mohd Yusof Kassim berkata, kenyataan Jomo adalah ramalan tentang ekonomi negara masa depan berasaskan senario global dan kelembapan ekonomi domestik.

Katanya, faktor luaran sukar ditangani, tetapi negara boleh mempengaruhi ekonomi domestik dengan dasar yang sesuai bagi menggalakkan pertumbuhan dan mengurangkan kebocoran.

“Tidak patut dan tak perlu panik. Yang penting perlu kerja keras, jujur, amanah dan belanja berhemah.

“Utamakan produk atau perkhidmatan tempatan. Melabur dalam negara. Kerajaan boleh sediakan insentif sesuai untuk galakkan pelaburan domestik di samping menggalakan pelaburan asing ke dalam negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.