
Perwakilan PAS Kedah, Nasrun Othman berkata pemahaman dalam kalangan veteran PAS perlu diutamakan, di samping parti cuba memahamkan Umno menerusi penyatuan ummah menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Pemuda PAS sangat komited memastikan kemenangan pada PRU15 tetapi kita perlu beri kefahaman yang jelas di samping nak fahamkan sahabat kita dari Umno.
“…kita juga kena fahamkan ahli jemaah yang veteran ni masih tak setuju nak kerjasama dengan Umno sebab serik dan tak faham.
“Kena bagi faham ahli PAS yang tak setuju dengan penyatuan kerana mereka lihat Umno masih perangai lama, tetapi kita yakin kalau beri penerangan jelas, mereka boleh bersama kita demi Islam, kita sanggup lupakan sejarah lama kerana kita nak perintah negara dengan Islam,” katanya pada sesi perbahasan ucapan dasar Ketua Dewan Pemuda PAS sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-60, hari ini.
Nasrun yang juga timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah berkata, gerak kerja memeterai kerjasama, sama ada bersandarkan konsep taawun atau tahaluf siyasi bersama Umno perlu didasari beberapa syarat.
Katanya, antara syarat itu termasuk menjadikan PAS sebagai nakhoda selepas bergabung dengan Umno bagi memastikan perlembagaan Al-Quran dan sunnah dapat dipertahankan.
“Pelopori kesatuan Umno dan PAS atas dasar apa? Demi Islam, itu matlamat kita tetapi kena pastikan penyatuan ini benar-benar ikhlas seperti disebutkan ketua Pemuda (Muhammad Khalil Abdul Hadi).
“Jangan ada dalam diri kita, nak pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya kerana ini akan menggelapkan serta mungkin menghalang Umno-PAS daripada bersatu,” katanya.
Jamin keadilan golongan bukan Islam
Sementara itu perwakilan PAS Selangor, Ahmad Ubaidillah Abdullah, pula berkata sisi lain di sebalik usaha penyatuan ummah yang perlu diterokai ialah mengenai keperluan mewujudkan deklarasi jelas kepada kelompok bukan Islam.
Katanya deklarasi itu mengandungi tawaran dan komitmen PAS dalam menjamin hak serta keadilan kepada mereka, sekiranya parti Islam berkenaan diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah pasca PRU15.
“Orang bukan Islam boleh mengunjungi gereja-gereja mereka, (PAS dilihat) gagal sampaikan mesej kepada golongan sasar (bukan Islam) sehingga ia dimanipulasi pihak lawan.
“Komitmen ini penting bagi menyatukan kelompok bukan Islam bagi menangkis naratif jahat yang cuba diwujudkan dalam konteks tahaluf siyasi. Deklarasi yang jelas ini juga jamin hak dan keadilan kepada kelompok bukan Islam,” katanya.