Saya diberitahu SRC ‘syarikat Najib’, kata pegawai kementerian kepada mahkamah

Saya diberitahu SRC ‘syarikat Najib’, kata pegawai kementerian kepada mahkamah

Najib antara lain berdepan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah, 1 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Timbalan setiausaha di Jabatan Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz.
KUALA LUMPUR:
Seorang kakitangan Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan rasuah dan salah guna kuasa Najib Razak hari ini bahawa beliau diarah menyediakan kertas Kabinet mengenai pemberian jaminan kerajaan ke-2 kepada SRC International kerana ia merupakan “syarikat PM”.

Timbalan setiausaha Jabatan Pelaburan Strategik kementerian berkenaan, Afidah Azwa Abdul Aziz berkata, bekas ketuanya, Maliami Hamad memberitahu perkara itu sewaktu beliau mempersoalkan kesegeraan dalam menyediakan kertas itu pada 15 Ogos 2011.

Katanya, kertas bagi jaminan kerajaan ke-2 itu yang merupakan satu memorandum bagi mesyuarat Kabinet disediakan selepas beliau berjumpa ketua pegawai eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, kakitangan Zahid Taib dan 2 lagi staf syarikat itu.

“Dia (Maliami) memberitahu saya ia merupakan ‘arahan dari atas’ dan ia ‘syarikat PM’,” katanya ketika disoal oleh timbalan pendakwa raya, Suhaimi Ibrahim sekiranya beliau mempersoalkan keperluan menyediakan kertas berkenaan pada hari itu juga.

Peguam Najib, Yusof Zainal Abiden bagaimanapun membantah soalan tersebut dengan berkata, ia adalah dengar cakap.

“Beliau sudah memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima arahan bosnya dan melaksanakan arahan yang diterima. Ia berakhir di situ,” katanya.

Dalam pada itu, pendakwa fiat V Sithambaran memberitahu mahkamah bahawa Suhaimi bertanyakan soalan itu sebagai lanjutan soalan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang dibuat sebelum itu.

“Bantahan ini disengajakan kerana keterangan (yang diberi) tidak memihak kepada pasukan pembelaan. Ia mengarut,” tambah beliau.

Katanya, pihak pendakwa akan turut memanggil Maliami untuk memberi keterangan kepada mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Ghazali berkata, beliau akan membenarkan jawapan Afidah kerana beliau hanya mengulangi apa-apa yang didengar daripada bekas ketuanya.

Najib berdepan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah, 1 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 3 pertuduhan pengubahan wang melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau juga didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan sebanyak RM4 bilion.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan di pejabat perdana menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.

Perbicaraan bersambung di hadapan hakim Nazlan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.