
Akar umbi parti tidak akan bertolak ansur terhadap kem sedemikian kata Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi kepada FMT.
Beliau memberi komen ke atas laporan FMT yang memetik sumber dalaman PPBM yang enggan dikenali yang berkata, terdapat 1 kumpulan dalam parti yang membantu usaha menyingkirkan Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan perdana menteri bagi membolehkan Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa.
Akhramsyah membayangkan beliau meragui kesahihan dakwaan itu dan berkata, beliau kesal individu yang membuat dakwaan itu memilih menyembunyikan identitinya dan membelakangkan gesaan parti supaya ahli berani ke hadapan untuk memberi pandangan.
Seperti Akhramsyah, sumber yang enggan dikenali itu merupakan penyokong kuat Mahathir. Katanya, beliau tidak sabar menunggu pemilihan parti untuk melihat kem Anwar disingkirkan.
Akhramsyah berkata, beliau menghormati keputusan Mahathir untuk menyerahkan kepimpinan kerajaan kepada Anwar “pada masa sesuai” dan menambah bahawa beliau serta ahli PPBM lain berdoa supaya perdana menteri itu terus sihat bagi membolehkannya terus berkhidmat kepada negara “selama mana yang mungkin”.
Mengikut perjanjian yang dibuat dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH), Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar, tetapi tidak ada tempoh khusus yang ditetapkan.
“Individu terpencil dalam PPBM yang anti-Tun mungkin kecewa kerana parti setia di belakang kepimpinannya walaupun beliau tidak berniat untuk berkhidmat 1 penggal penuh,” kata Akhramsyah.
Katanya, beliau mahu seorang lagi pemimpin PPBM, seperti presiden parti, Muhyiddin Yassin menggantikan Mahathir sebagai presiden, tetapi menambah bahawa beliau akan akur keputusan PH.
“Tentulah keputusan itu bukan hak PPBM, tetapi PH,” katanya.
Beliau menggesa pemimpin PH supaya berhenti berdebat tentang pelan penggantian pemimpin, sebaliknya memberi tumpuan bagi menjamin kejayaan kepimpinan negara sedia ada.