
Katanya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak pernah membangkitkan perkara itu melalui media atau mesyuarat jabatan terbabit, seperti dilaporkan media yang memetik Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata, kerajaan menghormati cara hidup suku Batek dan tidak munasabah memindahkan masyarakat itu yang lebih selesa dengan persekitaran semula jadi.
“Lagipun ada beberapa projek pembangunan yang telah dilaksanakan Jakoa di perkampungan berkenaan. Sebanyak 16 rumah telah dibina di bawah Program Bina Rumah oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar sebelum ini.
“Jakoa akan terus membina rumah untuk komuniti ini pada masa akan datang sehingga mereka semua mempunyai rumah masing-masing yang selesa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Amar dilaporkan berkata, Jakoa sedang membantu pemindahan Orang Asli di Kuala Koh ke persekitaran lebih baik untuk memudahkan penjagaan komuniti itu dari segi kesihatan dan keadaan mereka.
“Kami sudah dengar cadangan Jakoa untuk memindahkan suku Batek ke sebuah tempat lain supaya ia lebih mudah untuk menjaga mereka. Ini adalah usaha yang baik.
“Tiada maklumat lain mengenai kawasan (baru) itu selain ia adalah sebahagian rancangan Jakoa,” katanya sambil menambah kerajaan negeri tiada niat campur tangan dalam rancangan Jakoa yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan Orang Asli.
Hari ini, Waytha berkata, Jakoa dan Jabatan Kesihatan Kelantan akan menyediakan Sistem Bekalan Air Dan Kebersihan Alam Sekeliling (Bakas), selepas Kampung Kuala Koh diisytiharkan bebas wabak demam campak.
Katanya, Jakoa turut meminta Kementerian Air, Tanah dan Alam Sekitar untuk membekalkan air terawat dengan segera kepada Kampung Kuala Koh.
Beliau berkata, Jakoa akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri dan daerah untuk memberi suntikan imunisasi kepada Orang Asli serta mengadakan program kesihatan bagi meningkatkan kesedaran mereka.
“Dalam masa terdekat ini juga, beberapa program telah dirancang seperti gotong-royong perdana untuk membersihkan rumah dan persekitaran Kampung Kuala Koh supaya perkampungan tersebut kembali dalam keadaan bersih, ceria dan sejahtera.”
Sebelum ini, 15 kematian Orang Asli di Kuala Koh dilaporkan dan 113 Orang Asli di kampung sama disahkan dijangkiti demam campak, dengan 3 orang disahkan maut akibat wabak itu.
Seramai 12 lagi Orang Asli dilaporkan meninggal dunia ketika mereka dalam perjalanan dari Taman Negara di Pahang ke Gua Musang dan mereka dikebumikan di sepanjang laluan itu.
Semalam, 7 Orang Asli di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu dan 4 lagi di Kampung Ulu Sat, Jerantut, Pahang disahkan dijangkiti demam campak.
Hari ini, Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan dilaporkan berkata, 14 mayat dan rangka Orang Asli suku Batek yang dikeluarkan dari Kuala Koh, selesai dibedah siasat.
Sementara itu, Jakoa berkata, ia merangka tanaman kontan membabitkan semua 56 ketua isi rumah di Kampung Kuala Koh sebagai penyelesaian jangka pendek.
“Tanaman seperti pisang, jagung, ubi kayu dan sayur-sayuran yang sesuai akan diusahakan sebaik saja Kampung Kuala Koh diisytiharkan bebas wabak.
“Tanaman kontan ini boleh dijadikan sumber makanan harian mereka di samping menjana pendapatan.
“Jakoa juga sedang berikhtiar untuk membekalkan tenaga elektrik 24 jam kepada masyarakat Orang Asli di sini secepat mungkin.”