Kanser menyerang bila-bila masa, 2 bekas pesakit kongsi pengalaman

Kanser menyerang bila-bila masa, 2 bekas pesakit kongsi pengalaman

Nur Aleena dan Navi Indran menghidap kanser berulang ketika mereka kecil dan ketika mereka meningkat dewasa.

Pemeriksaan awal penting bagi merawat kanser. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas pesakit kanser Nur Aleena berusia 12 tahun ketika dia didiagnosis dengan penyakit itu.

Dia mempunyai kanser ovari tetapi tidak diberitahu mengapa dia terpaksa menjalani ujian darah dan mendapatkan suntikan setiap 2 minggu. Apa yang dia tahu, dia mengalami kesakitan di seluruh tubuhnya.

Dia berkata ibu bapanya merahsiakan penyakit itu sehingga dia meminta mereka menceritakan perkara sebenar.

Pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan sista yang besar. Selepas itu, dia terpaksa menjalani 6 rawatan kemoterapi yang menyebabkan banyak rambutnya gugur.

Ia mengambil masa kira-kira 1 tahun untuk dia pulih dan ketinggalan dalam pelajaran di sekolah.

Tetapi dia selamat dan menjalani kehidupan normal selama 7 tahun, kecuali dia sering berasa letih.

Dia belajar dengan tekun dan berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam perniagaan dan perakaunan di Universiti Malaya.

Nur Aleena.

Tetapi keceriaan hidupnya kembali merudum apabila dia didiagnosis dengan sejenis kanser yang lain pada tahun pertama di universiti. Kali ini kanser tiroid.

“Apa yang salah dengan saya?” Dia bertanya kepada dirinya sendiri. “Saya takut dan saya terus bertanya, ‘Mengapa kanser kembali?'”

Ibu bapanya tinggal di Johor menyebabkan dia terpaksa menguruskan penyakitnya sendiri.

“Mereka akan datang ke KL sekali sekala untuk melihat keadaan saya,” katanya kepada FMT. “Tetapi kebanyakan masa, saya seorang diri melawan kanser ini. Saya hampir berputus asa.

“Saya sangat takut saya menangis sepanjang masa. Saya tidak dapat memberi tumpuan kepada pengajian saya.”

Aleena berkata ia mengambil masa untuk mendapatkan kekuatan untuk menjalani rawatan. Dia hanya menjalani pembedahan untuk membuang kanser.

Dia kini berada dalam tahun akhir di universiti. Dia tidak pernah meninggalkan ubatannya dan dia makan secara sederhana.

“Saya gembira saya tidak berputus asa dan saya selamat. Saya tahu ramai orang mungkin mengalaminya lebih sukar. Sesetengahnya mungkin tidak dapat menemui penawar untuk penyakit mereka. ”

Navi Indran.

Navi Indran Pillai masih muda ketika dia didiagnosis dengan kanser payudara. Dia berumur 6 tahun.

“Saya menjalani kemoterapi, terapi radiasi, terapi hormon dan terapi yang disasarkan. Ia meletihkan, kerana saya masih muda ketika itu.”

Dia berjaya menyelesaikan rawatan dalam tempoh 1 tahun setengah dan gembira kerana dia dapat hidup seperti kanak-kanak lain.

Tetapi kanser itu kembali tahun lalu, ketika dia hampir menyelesaikan pengajian universitinya di Melbourne.

“Saya sedih, tetapi saya tahu saya perlu kuat,” katanya.

Dia melawannya dengan menjalani rawatan yang sama ketika dia masih kecil.

Dia juga menamatkan pengajiannya dan berjaya mendapatkan pekerjaan. “Menjadi orang sakit tidak seharusnya menentukan siapa anda,” katanya.

Bercakap kepada pemberita pada majlis pengumpulan dana semalam, penasihat Persatuan Kanser Kebangsaan Zuraidah Atan berkata pengesanan awal penyakit itu penting.

“Kebanyakan orang, terutamanya golongan muda, tidak menyedarinya dan tidak mendapatkan pemeriksaan awal. Mereka tidak terfikir orang boleh didiagnosis dengan kanser pada usia muda.”

Beliau berkata terdapat keperluan bagi lebih banyak kempen untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.