4 warga Itali, 2 Pakistan terperangkap ketika mendaki di Lembah Ghizar

4 warga Itali, 2 Pakistan terperangkap ketika mendaki di Lembah Ghizar

2 helikopter tentera dihantar bagi menjalankan operasi menyelamat selepas terperangkap akibat salji runtuh.

Lembah Ghizar di utara Pakistan menjadi lokasi menarik kepada penggemar aktiviti mendaki kerana puncak altitudnya yang tinggi.
ISLAMABAD:
Empat warga Itali dan 2 Pakistan terperangkap pada ketinggian kira-kira 5,300m, ketika menjalani ekspedisi mendaki di lembah Ghizar di utara Pakistan, demikian menurut pegawai pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua.

Seorang pegawai dari Askari Aviation, sebuah syarikat perniagaan di bawah tentera Pakistan yang enggan dikenali berkata, 2 helikopter tentera dihantar bagi menjalankan operasi menyelamat.

Menurut seorang pegawai Kelab Alpine Pakistan, Karrar Haidari terdapat 7 pendaki – termasuk 4 warga Itali dan 3 Pakistan – turun selepas mendaki puncak Ishkoman di Lembah Ghizar – terperangkap akibat salji runtuh pada Isnin pagi menyebabkan seorang daripada warga Pakistan itu maut.

Ekspedisi Persahabatan Pakistan-Itali itu disertai pelajar Pakistan, pemandu pelancong dan pendaki Itali – memulakan pengembaraan pada 2 Jun.

Misi menyelamat bermula Isnin petang, terpaksa ditangguhkan sehingga Selasa akibat cuaca buruk.

Kawasan utara Pakistan menjadi lokasi menarik kepada penggemar aktiviti mendaki kerana puncak altitudnya yang tinggi.

Pada Mac tahun ini, seorang pendaki Britain dan Itali maut di Nanga Parbat disebabkan cuaca buruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.