2 beradik didera 3 beranak mahu ke sekolah, kata timbalan menteri

2 beradik didera 3 beranak mahu ke sekolah, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata 2 beradik berusia 7 dan 8 tahun itu dipercayai tidak mendapat sebarang pendidikan formal di bawah jagaan ibu saudara mereka sejak 7 tahun lalu,.

Hannah Yeoh melawat Sekolah Rendah Agama Ibnu Kathir di Sungai Penchala hari ini. Sekolah ini memerlukan bantuan untuk membina dewan berbumbung.
KUALA LUMPUR:
Dua mangsa penderaan fizikal oleh 3 beranak di Pusat Bandar Puchong mahu ke sekolah kerana mereka dipercayai tidak pernah mendapat pendidikan formal ketika di bawah jagaan ibu saudara, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau merujuk sepasang beradik berusia 7 dan 8 tahun yang diselamatkan polis Sabtu lalu selepas orang awam melaporkan kes penderaan itu.

Yeoh berkata, hasrat itu disuarakan mangsa berusia 7 tahun ketika beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, melawat mereka Isnin lalu.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, fokus utama pihaknya sekarang ialah tahap kesihatan mangsa yang masih dirawat di Hospital Serdang.

“Semasa kita melawat mereka, adik perempuan 7 tahun ini telah menyatakan hasrat kepada timbalan perdana menteri bahawa dia nak bersekolah, mereka kata nak belajar,” katanya selepas melawat Sekolah Rendah Agama Ibnu Kathir di sini, hari ini.

“Sekarang, kita tumpukan kepada pulihkan kesihatan mereka dan kemudian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan tengok alternatif sesuai untuk melindungi kanak-kanak terbabit.

“Sekarang JKM sedang cari ahli keluarga lain, selalunya kalau ada ahli keluarga lain nak jaga mereka, JKM akan semak dan pastikan dulu mereka selamat di bawah jagaan keluarga itu sebelum diserahkan,” katanya sambil memaklumkan beberapa NGO menyuarakan hasrat untuk melindungi kanak-kanak itu.

Yeoh percaya kanak-kanak terbabit sudah lama didera berdasarkan kesan luka pada badan mereka.

“Saya tidak rasa kes dera ini berlaku dalam seminggu dua ini kerana keadaan mereka terlalu kurus. Saya percaya ia berlaku sudah lama.”

Ahad lalu, media melaporkan 3 beranak termasuk seorang remaja perempuan berusia 13 tahun direman 5 hari kerana disyaki mendera 2 beradik itu.

Polis berkata, siasatan awal mendapati 2 mangsa itu sudah 7 tahun tinggal bersama suspek, selepas ibu bapa mereka berpisah.

Jangan lepas tangan kes dera

Yeoh mengingatkan orang ramai, termasuk jiran supaya peka dan melaporkan kes penderaan kepada pihak berkuasa.

Katanya, orang ramai boleh dikenakan tindakan jika melindungi perbuatan itu atas alasan tidak mahu mencampuri urusan orang lain.

“Berdasarkan Seksyen 28 Akta Kanak-kanak 2001, penalti sebanyak RM5,000 kepada anggota keluarga tidak melaporkan penderaan seksual kanak-kanak atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

“Manakala berdasarkan Seksyen 29A, mana-mana orang boleh melaporkan kes penderaan kepada pegawai kebajikan masyarakat dan bagi Seksyen 31 (Pengabaian dan penderaan) denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

“Mandatori perintah khidmat masyarakat tidak boleh kurang daripada 36 jam dan tidak lebih 240 jam secara agregat dalam tempoh tidak melebihi 6 bulan dari tarikh perintah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.