
Farhash berkata tuduhan sembarangan hanya mencelarukan isu tersebut, sedangkan persoalan asasnya adalah, adakah dia terlibat dalam video itu.
“Kalau betul bukan dia, dia patut saman Haziq,” katanya ketika dihubungi FMT menerusi nombor telefon tempatan.
“Dia sendiri ke depan, hantar setiausaha politiknya, Hilman Idham buat apa?” tambahnya, merujuk kepada laporan polis dan qazaf yang difailkan selepas terdedahnya video seks sejenis itu.
Farhash turut ditanya mengenai dakwaan dia bersama Haziq ketika pegawai kepada ketua penerangan PKR itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), dan dakwaan dia sudah melarikan diri ke luar negara.
Beliau menafikan kedua-dua dakwaan itu, dan hairan kenapa tumpuan dialihkan kepadanya.
“Saya tidak tahu bagaimana perkara ini mengaitkan diri saya,” katanya.
Minggu lalu, Haziq menggemparkan negara apabila mendakwa Azmin pasangannya dalam satu video seks sejenis yang tersebar di media sosial.
Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan video seks itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.