Pendatang asing mati kerana sebab semula jadi, pegawai penyiasat beritahu RCI

Pendatang asing mati kerana sebab semula jadi, pegawai penyiasat beritahu RCI

Pegawai penyiasat dari Bukit Aman, Woon Tan Seng mendapati mangsa tidak mampu hidup dalam keadaan teruk di dalam hutan.

Woon Tan Seng ialah pegawai penyiasat bagi kes penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian hari ini diberitahu kematian lebih 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) disebabkan punca semula jadi dan persekitaran teruk di dalam hutan.

Pegawai penyiasat dari Bukit Aman yang mengendalikan kes Wang Kelian, Woon Tan Seng berkata mangsa mungkin pernah dipukul, tetapi tidak sampai tahap membawa maut.

“Mereka hanya diberi makanan sekali sehari. Daripada 2 kali lawatan saya ke bukit, ahli RCI tengok sendiri keadaan sekeliling kehidupan mereka.

“Kalau saya jadi mangsa, saya pun mungkin tak dapat hidup dekat hutan sebegitu. Punca kesakitan itu memang jadi kebiasaan dalam hutan, saya percaya mereka mati akibat sakit.

“(Mereka didera?) Tidak boleh kata sebab laporan patologi tidak sebut demikian, tapi keterangan saksi (mangsa) mereka mengaku dirotan, tapi tidaklah sampai mati, memang ada keadaan lebam dan balutan.”

Saksi ke-48 itu menjawab soalan panel inkuiri mengenai punca lebih 100 kematian direkodkan dalam kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian.

Bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria yang mengetuai panel inkuiri itu memetik laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Fortify Rights menyatakan warga asing diseludup ke Malaysia tidak dianggap mangsa, tetapi sebagai PATI.

Beliau berkata, warga asing itu sepatutnya diberikan layanan sewajarnya sebagai mangsa, tetapi mereka dilayan seperti penjenayah.

Woon berkata, ketika menyoal siasat mangsa, mereka tahu perlu mempunyai dokumen sah untuk memasuki mana-mana negara.

“Tapi dalam kes ini, banyak mangsa tahu hala tuju dan destinasi adalah Malaysia, di mana tujuan adalah untuk cari duit, mereka tahu akan masuk secara haram.

“Kalau kita layan mereka seperti mangsa jenayah lain, ia akan beban Malaysia dari segi kewangan dan akan jadi ‘pull factor’ kepada mereka untuk datang Malaysia. Ia akan jadi trend yang bahaya.

“Kalau mereka betul boleh buktikan masalah TIP (pemerdagangan orang), itu cerita lain. Itu kita akan tempatkan mereka di rumah perlindungan, memang ada rumah perlindungan di seluruh negara.”

Ditanya jika beliau dapat membezakan warga asing yang diperdaya atau datang ke Malaysia secara sukarela, Woon berkata, sukar untuk menentukan jika mereka bercakap benar.

Katanya, ketika mengambil keterangan mereka, jawapan mangsa seolah-olah mereka diajar untuk bercakap perkara sama.

“Banyak yang masuk melalui (Bukit) Wang Burma, tapi benda ini sudah (jadi) isu besar. Malangnya, tiada mangsa, selain mangsa yang jadi saksi, yang datang dengan rela untuk bantu siasatan tidak ada.

“Apa yang saya nampak, mereka yang dilepaskan dan dapat kerja, niat mereka untuk cari duit di negara ini dan hantar duit kepada keluarga mereka. Mereka tidak sanggup bantu kita, jadi amat sukar tugasan siasatan kita.”

Woon berkata, pihak berkuasa Thailand memaklumkan 4 ahli sindiket terbabit dalam kejadian itu disyaki berada di Malaysia, di kawasan sempadan.

Katanya, pasukan polis dari Perlis dan Kedah diminta mengesan 4 suspek itu, tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Menjawab soalan ahli panel, Dr Tan Seng Giaw mengenai kelemahan yang mungkin wujud dalam siasatan itu, Woon berkata, timbul isu untuk mendapatkan maklumat.

Beliau berkata, mangsa dan saksi tidak yakin pihak berkuasa boleh menggunakan Akta Perlindungan Saksi untuk menjamin keselamatan mereka.

“Mereka was-was untuk tampil. Mereka takut dengan jaminan keselamatan mereka.”

Katanya, kelemahan lain termasuk kurang pemahaman antara pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Saya rasa mungkin kita perlu tambah kekuatan penguatkuasaan, khususnya di sempadan. Anggota PDRM di sempadan juga perlu ditambah.

“Tingkatkan rondaan dan guna peralatan canggih seperti drone di hutan tebal,” katanya sambil menambah ia juga memerlukan pemahanan jelas mengenai undang-undang.

RCI itu ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat penemuan 139 kubur beramai-ramai dan 28 kem pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, dekat sempadan Malaysia-Thailand pada 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.