Polis tahan 3 sekeluarga disyaki dera 2 kanak-kanak

Polis tahan 3 sekeluarga disyaki dera 2 kanak-kanak

Kedua-dua mangsa tinggal bersama keluarga terbabit sejak 7 tahun lalu selepas ditinggalkan ibu bapa mereka yang bercerai.

Tiga sekeluarga itu dipercayai menggunakan cota, garpu dan paip getah keras untuk mendera mangsa. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Tiga sekeluarga ditahan bagi membantu siasatan kes mendera dan memukul 2 kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan berusia 7 dan 8 tahun di sebuah rumah di Pusat Bandar Puchong, Serdang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Ismadi Borhan berkata, bertindak atas laporan yang diterima, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar gas berusia 33 tahun bersama isteri dan anak perempuannya, masing-masing berusia 30 dan 13 tahun.

“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama ketiga-tiga mereka sejak 7 tahun lalu selepas ditinggalkan ibu bapa mereka yang sudah bercerai.

Kedua-dua mangsa mengalami kesan dera hampir di seluruh badan, selain dipercayai mengalami kurang zat badan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Serdang.

Ismadi berkata, pemeriksaan lanjut di rumah menemui 1 cota, 1 garpu perak dan 1 paip getah keras yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.

Menurutnya permohonan reman untuk ketiga-tiga suspek akan dilakukan esok di Mahkamah Petaling Jaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.