
Ketua Penerangan Razeef Rakimin berkata demikian ketika menafikan Blission sebahagian daripada jentera pilihan raya kecil dan pengurusan logistik pemimpin Pakatan Harapan dan PKR.
“Seingat saya, Blission hanya berada di Sandakan selama 2 hari sahaja dan menghabiskan sebahagian besar masanya di Kota Kinabalu atas urusan kerja sebelum kembali ke Lahad Datu.
“Dia juga datang ke Sandakan untuk seketika untuk berjumpa dengan Haziq di Hotel Four Points,” katanya.
Menurut Razeef, pengurusan logistik pemimpin PH dan PKR diuruskan oleh Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar, Exco Pemuda PKR Pusat, Kamis Burhan dan Ketua Pemuda PKR Kalabahan, Asis Bakri.
Semalam, Blission pada sidang media tidak dapat mengesahkan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Haziq bertemu atau tidak pada PRK Sandakan.

Beliau bagaimanapun mengesahkan Azmin menginap di Hotel Four Points di Sandakan.
Pada Rabu, Haziq menggemparkan negara apabila mendakwa Azmin pasangannya dalam satu video seks sejenis yang tersebar di media sosial.
Pegawai kepada Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Md Akin itu mendakwa kelakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points ketika PRK.
Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan video seks itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.