Dokumen pindah dana UEM kepada menteri palsu, kata Maybank

Dokumen pindah dana UEM kepada menteri palsu, kata Maybank

Maybank berkata, dokumen nasihat pemindahan RM3 juta kepada seorang menteri yang disebarkan di laman sosial tidak dikeluarkan bank itu dan nombor akaun pada dokumen itu adalah tidak sah.

Maybank akan mengambil tindakan perlu untuk melindungi kepentingannya.
KUALA LUMPUR:
Malayan Banking Bhd (Maybank) menjelaskan dokumen nasihat pemindahan dana yang disebarkan dalam talian berhubung dakwaan pemindahan wang kepada seorang menteri menggunakan akaun bank itu adalah palsu.

“Dokumen nasihat pemindahan dana itu yang disebarkan dalam talian tidak dikeluarkan bank ini dan nombor akaun Maybank yang dinyatakan pada dokumen itu adalah tidak sah,” kata jurucakap Maybank hari ini semasa dihubungi Bernama untuk menjelaskan perkara itu.

“Oleh kerana dokumen yang mengandungi nama Maybank itu kelihatan seperti dokumen yang telah dipalsukan, Maybank akan mengambil tindakan perlu untuk melindungi kepentingannya.”

Salinan dokumen itu tular di laman sosial mendakwa sejumlah wang milik UEM Group Bhd dipindahkan ke akaun menteri itu menerusi akaun Maybank.

Semalam, UEM Group Bhd menafikan dakwaan ia terbabit dalam pemindahan wang itu.

“UEM Group Bhd ingin menyatakan ia tidak memiliki akaun bank di cawangan utama Maybank KL dan tidak memiliki akaun dengan nombor akaun seperti didakwa pelbagai laman media sosial,” kata syarikat itu dalam kenyataan ringkas.

Untuk membersihkan namanya, UEM Group membuat laporan polis semalam dan menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa relevan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.