85% aduan kenaikan caj bil elektrik selesai, kata TNB

85% aduan kenaikan caj bil elektrik selesai, kata TNB

Presiden TNB berkata, jika siasatan mendapati kenaikan caj bil elektrik berpunca daripada TNB, pihaknya akan mengkreditkan semula jumlah itu ke akaun pengguna.

Amir Hamzah Azizan berkata, TNB akan cuba menyelesaikan baki lebih 3,000 aduan berkaitan kenaikan caj bil elektrik secepat mungkin.
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 85% daripada lebih 18,000 aduan serta maklum balas pengguna seluruh negara sepanjang April dan Mei lalu berkaitan kenaikan caj bil elektrik sudah diselesaikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Amir Hamzah Azizan berkata pihaknya akan cuba menyelesaikan lebih 3,000 aduan berbaki secepat mungkin.

“Kita lihat ada kemajuan dari segi penyelesaian (aduan) dan memberi tumpuan kepada siasatan,” katanya pada Majlis Mesra Aidilfitri TNB di sini, hari ini.

Mengenai penalti yang akan dikenakan Suruhanjaya Tenaga (ST) kepada TNB, Amir Hamzah berkata beliau belum meneliti perkara itu.

“Buat masa ini, saya tidak melihat benda itu lagi…Kita perlu faham apakah isu sebenar dan bagaimana nak pantau, itu fokus saya. Namun apa yang penting, kita selesaikan masalah pengguna terlebih dahulu.

“Setakat ini, berdasarkan siasatan yang kita jalankan, jika didapati peningkatan caj bil berpunca daripada TNB, kita akan pulangkan dengan mengkreditkan semula ke akaun pengguna.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.