
Menjawab kenyataan Penasihat Big Blue Taxi Facilities, Shamsubahrin Ismail, Perkeso berkata ia mula mendekati golongan sasar sejak 2017 dan sehingga Mei lalu, 1,324 sesi sudah diadakan di seluruh negara membabitkan 406 persatuan pemandu teksi dan kereta sewa serta pemandu persendirian.
Perkeso berkata tumpuan diberi kepada mempromosikan skim itu.
“Antara aktiviti dianjurkan adalah sesi taklimat kepada pemandu-pemandu teksi, pembukaan kaunter Perkeso serta pengedaran risalah di terminal-terminal teksi.
“Pada 8 Mei lalu, program libat urus diadakan bersama ahli-ahli Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Shamsubahrin memberitahu FMT, tempoh waktu singkat memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri menyebabkan banyak pemandu teksi tidak berminat untuk mendaftar dan melakukan sumbangan.
Shamsubahrin mendakwa pemandu teksi masih tidak mengetahui apakah ditawarkan Perkeso menerusi skim berkenaan, walaupun kerajaan sudah mengarahkan pemandu mendaftar sejak tahun lalu.
Pemandu teksi, kereta sewa dan e-hailing diberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk mencarum dengan Perkeso. Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk dikenakan kompaun maksimum RM4,000.
Sehingga 10 Jun lalu, Perkeso memaklumkan seramai 15,264 daripada 200,000 pemandu teksi dan e-hailing mencarum dengan skim berkenaan.
Perkeso berkata dalam pertemuan dengan persatuan-persatuan pemandu, hadirin memaklumkan mereka memahami manfaat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
“Skim ini memberi perlindungan kepada orang berinsurans yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan,” katanya.
Caruman minimum RM13.10
Perkeso berkata, skim itu menyediakan faedah tunai kepada pemandu teksi dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan, perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.
Dengan caruman minimum sebanyak RM13.10 sebulan, pencarum layak menerima faedah perubatan, memandangkan Perkeso bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kos rawatan perubatan di klinik panel Perkeso atau klinik dan hospital kerajaan.
“Pencarum menerima bayaran antara RM30.00 hingga RM105.33 sehari, bergantung kepada pilihan caruman bagi bayaran cuti sakit akibat bencana kerja. Layak menerima elaun bulanan sebanyak RM500 bagi pencarum yang tidak upaya secara teruk hingga sentiasa memerlukan layanan peribadi orang lain,” katanya.
Menurut Perkeso, orang tanggungan yang layak akan menerima bayaran secara berkala sepanjang hayat, selepas pencarum meninggal dunia.
Menurutnya, bagi duda atau balu yang terkesan dengan kehilangan pasangan akibat bencana kerja, bayaran akan tetap diterima walaupun setelah berkahwin semula.
“Bayaran RM2,000 akan diberikan kepada waris sebagai faedah pengurusan mayat. Perkeso tanggung kos rawatan pemulihan seperti fisioterapi, implan, rawatan hemodialysis dan lain-lain.
“Bahkan, Perkeso turut membekalkan alat pemulihan, menyediakan latihan vokasional serta menawarkan khidmat rawatan di Pusat Rehabilitasi Perkeso secara percuma,” katanya.
Manakala bagi yang sudah pulih, Perkeso menawarkan program kembali bekerja dan turut mendapat kemudahan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa buat anak penerima faedah berkala.