Didakwa persoal kuasa Agong ampun Anwar, Takiyuddin beri keterangan kepada polis

Didakwa persoal kuasa Agong ampun Anwar, Takiyuddin beri keterangan kepada polis

Pemuda PKR Ketereh membuat laporan polis mendakwa Takiyuddin mempersoalkan kuasa Agong berhubung pengampunan Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
KOTA BHARU:
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini untuk diambil keterangan berhubung satu laporan polis yang dibuat Pemuda PKR Ketereh kerana dikatakan mempersoal kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Laporan polis dibuat ke atas Takiyuddin yang dikatakan mempersoalkan kuasa YDPA yang memberi pengampunan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Takiyuddin yang tiba di IPD Kota Bharu pada pukul 2.45 petang, ditemani kira-kira 30 orang penyokong dan diambil keterangan selama kira-kira 2 jam.

Beliau yang ditemui pemberita selepas itu menjelaskan, beliau hadir sebenarnya bagi memberi keterangan mengenai ceramahnya yang dibuat semasa Ppilihan raya kecil Parlimen Sandakan bulan lalu.

Katanya dalam ceramahnya itu beliau hanya menjelaskan bahawa Anwar tidak layak menjadi perdana menteri atau pemimpin negara kerana beliau adalah bekas banduan.

“Saya ingin menegaskan, saya sama sekali tidak berniat mempersoalkan kuasa YDPA yang memberi pengampunan kepada Anwar (Ibrahim)…apatah lagi YDPA ketika itu dari Kelantan dan saya sebagai rakyatnya.

“Kuasa Agong adalah yang diberikan di bawah undang-undang, cuma kita sebagai rakyat mahu tahu siapakah yang meminta pengampunan berkenaan,” katanya.

Takiyuddin berkata, Anwar sudah disabitkan kesalahan di Mahkamah Persekutuan dalam sekurang-kurangnya 2 kes, termasuk salah guna kuasa ke atas pegawai polis dan liwat.

Katanya, setakat ini kesnya diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi untuk menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga rusuhan dan sebagainya.

“Terserah kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan saya menghormati kuasa dan tanggungjawab mereka dan berharap langkah terbaik diambil berdasarkan undang-undang untuk selesaikan kes ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.