Boleh bina lapangan terbang baru, tapi jangan tutup PIA, kata ketua menteri

Boleh bina lapangan terbang baru, tapi jangan tutup PIA, kata ketua menteri

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengubah pendiriannya untuk negeri itu mempunyai sebuah lagi lapangan terbang.

Chow Kon Yeow berkata, PIA penting untuk Zon Perindustrian Bebas di Bayan Lepas.
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata negeri itu boleh mempunyai sebuah lagi lapangan terbang, tetapi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) perlu kekal beroperasi supaya ekonomi negeri itu tidak terjejas.

Kenyataan itu menyusul laporan The Star mengenai 2 syarikat mencadangkan pembinaan sebuah lagi lapangan terbang di sebuah pulau tebus guna di luar perairan Nibong Tebal dan Parit Buntar, manakala satu lagi berhampiran Bandar Baharu di sempadan Pulau Pinang, Kedah dan Perak, sebagai kemudahan bersepadu bagi utara Semenanjung Malaysia.

Menurut laporan itu, jika salah satu cadangan itu dipilih, tanah terletaknya PIA yang dianggarkan bernilai RM7.2 bilion perlu diserahkan kepada pencadang berjaya yang akan menyebabkan PIA terpaksa ditutup.

Chow dalam kenyataan hari ini berkata, beliau tidak tahu mengenai rancangan itu, tetapi mengalu-alukan sebarang cadangan membangunkan sebuah lapangan terbang baru di Pulau Pinang atau wilayah itu.

“Kita akan teruskan dengan rancangan kami untuk menjalankan satu kajian mengenai keperluan masa depan sebuah lapangan terbang di negeri ini dan wilayah sekitar.”

Bagaimanapun, katanya, sebarang pembinaan lapangan terbang baru tidak boleh menjejaskan peranan dan fungsi PIA serta pembangunan di negeri itu.

Chow sebelum ini membantah pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim atas alasan ia akan menjejaskan PIA dan ekonomi Pulau Pinang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim bernilai RM1.6 bilion yang akan dibiayai sepenuhnya oleh pelabur swasta, mendapat lampu hijau Putrajaya untuk dibina berdekatan Sungai Petani.

Chow dilaporkan berkata, PIA penting kepada Zon Perindustrian Bebas di Bayan Lepas yang menempatkan banyak syarikat multinasional dan cip biru.

“Ekonomi Pulau Pinang dan rakyatnya perlu mendapat manfaat daripada sebarang cadangan sedemikian.”

The Star memetik sumber sebagai berkata, cadangan pertama berkaitan tebus guna sebuah pulau seluas 5,000 hektar untuk “Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara”.

Cadangan ke-2 membabitkan tanah seluas 650 hektar di sempadan Perak, Kedah dan Pulau Pinang di selatan Seberang Perai bagi “Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia” (NMIA).

Menurut laporan itu, Pulau Pinang dan NMIA boleh dihubungkan melalui monorail sepanjang 57km yang mengambil masa 45 minit dengan pertukaran laluan perkhidmatan tren elektrik Keretapi Tanah Melayu.

Kedua-dua cadangan itu akan dibiayai melalui pemindahan tanah PIA kepada pencadang berjaya. Tanah PIA dilaporkan amat dikehendaki untuk pembangunan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.