Kastam perketat pemeriksaan kontena bawa masuk sisa plastik haram

Kastam perketat pemeriksaan kontena bawa masuk sisa plastik haram

Isu sisa plastik mendapat perhatian apabila beratus-ratus kontena yang diperiksa di Pelabuhan Klang mengandungi sampah haram yang dibawa masuk ke negara ini.

Malaysia adalah negara pengimport sisa plastik yang boleh dikitar semula dan setakat ini 62 syarikat diberi AP yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara.

KUALA LUMPUR,: Pemeriksaan lebih ketat akan dilakukan terhadap kontena di semua pelabuhan bagi memastikan tiada bahan sisa plastik yang dilarang lepas masuk ke negara ini.

Ketua pengarah Kastam Paddy Abdul Halim berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membanteras kegiatan haram itu.

“Kami melakukan pemeriksaan lebih ketat terhadap kontena yang masuk ke dalam negara, terutama di Pelabuhan Klang.

“Kastam juga menyertai pasukan khas yang diwujudkan oleh kerajaan dan memandang serius kegiatan membawa masuk sisa plastik ke dalam negara,” katanya.

Isu sisa plastik mendapat perhatian apabila media melaporkan beratus-ratus kontena di Pelabuhan Klang yang diperiksa dalam 10 operasi pihak berkuasa mengandungi sampah haram yang dibawa masuk ke dalam negara.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pada 28 Mei lepas dilaporkan berkata, sejumlah 60 kontena sisa plastik yang dibawa masuk ke negara ini secara haram akan dihantar semula ke negara asal.

Beliau berkata, 10 daripada 60 kotena yang keseluruhannya seberat 450 tan metrik merupakan sisa plastik dari negara seperti China, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Kanada, Arab Saudi dan United Kingdom.

Malaysia adalah antara negara yang mengimport sisa plastik yang boleh dikitar semula dan setakat ini sejumlah 62 syarikat mempunyai Permit Import (AP) sisa plastik yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN) bagi membawa masuk dan memproses skrap plastik di negara ini.

Bagaimanapun, syarat ketat dikenakan untuk membawa masuk dan memproses sisa plastik itu, antaranya kebenaran import hanya diberi kepada pengimport yang mempunyai premis dan menjalankan aktiviti pemprosesan/kitar semula sisa plastik import.

Mengikut syarat premis pemprosesan skrap plastik kod tarif 3915, pemegang AP yang diluluskan untuk mengimport skrap plastik hanya dibenar menyimpan dan memproses skrap plastik yang diluluskan di premis yang dinyatakan dalam surat kelulusan pengeksport (pembekal) skrap plastik sahaja.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima laporan berhubung pembukaan kilang kitar semula sisa plastik yang dilapor beroperasi tanpa lesen di Jenjarom, Kuala Langat, dekat sini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Simi Abd Ghani berkata, laporan berhubung perkara itu diterima tahun lepas.

“Hasil siasatan dan kajian SPRM mendapati pembukaan kilang berkenaan yang dilapor beroperasi secara haram tidak mempunyai sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan rasuah.

“Ya, SPRM ada menerima laporan berhubung perkara itu, tetapi siasatan kes ini seharusnya diserah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, SPRM tidak menerima sebarang laporan baru (tahun ini) berhubung perkara itu daripada mana-mana pihak.

Pada 3 Jun lepas media melaporkan 10 daripada 41 kilang haram yang memproses sisa plastik di Selangor telah tutup, dan bakinya dijangka ditutup selewat-lewatnya Julai ini.

Pengarah SPRM Selangor Alias Salim berkata, pihaknya menahan seorang lelaki disyaki menerima rasuah berhubung pembukaan kilang kitar semula sisa plastik tahun lepas dan lelaki itu telah dibebaskan.

“Kes ini (pembukaan kilang haram) masih dalam siasatan kami sehingga kini,” katanya.

Ditanya sama ada SPRM ada menerima laporan berhubung salah guna kuasa dan rasuah dengan kemasukan kontena membawa sisa plastik di Pelabuhan Klang, Alias berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.