
Shukri berkata, beliau memilih 2 individu tersebut kerana menganggap “orang dalam” SPRM lebih memahami kerja dan mampu memudahkan operasi yang dijalankan oleh agensi itu.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan mana-mana pihak yang didakwa sebagai calon penggantinya kepada media.
“Saya tak boleh dedah nama. Tapi mereka tahu nama-nama mereka dimajukan kepada perdana menteri,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Putrajaya, hari ini.
Katanya, beliau menyerahkan nama tersebut kepada Dr Mahathir Mohamad pada Mac lalu sambil ditemani bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed.
“Saya bawa bersama Abu Kassim untuk yakinkan Tun Mahathir. Tun tak kata apa, saya tunggu lah. Saya terus kerja macam biasa,” katanya.
Shukri berkata, beliau hanya mengetahui mengenai status jawatannya selepas dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah pada 4 Jun lalu.
“Dan saya jumpa dengan Ketua Setiausaha Negara (Ismail Bakar). Hari itu baru saya tahu sebenarnya sudah dilantik pengganti saya.”
Tambahnya, pada hari yang sama beliau juga mengetahui penggantinya adalah orang luar agensi dan bukannya pegawai dalaman SPRM.
Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan media mengumumkan Latheefa Beebi Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baru pada Selasa.
Selesai 2 misi
Mengulas tentang persoalan pelbagai pihak yang mendakwa beliau meletakkan jawatan secara mengejut, Shukri menafikan beliau “lari” daripada tugasnya.
Katanya, satu perjanjian antara beliau dan Mahathir pernah dibuat pada 14 Mei tahun lalu iaitu beberapa hari selepas pilihan raya umum yang menyaksikan sejarah peralihan kuasa pusat.
Katanya, pada pertemuan itu, beliau membawa hasrat untuk mengundurkan diri. Hal ini katanya kerana, beliau menganggap misinya sudah pun selesai dan beliau rela mengundur diri.
Bagaimanapun, katanya, beliau berat hati apabila Mahathir berkata “kamu datang kerja esok”.
“Saya rasa berat hati bila perdana menteri kata begitu. Saya cakap saya terima arahan Tun, tapi dengan satu syarat.
“Saya akan bertugas selama setahun sahaja. Saya ada 2 misi nak selesaikan, selepas itu saya nak tamatkan tugas saya,” katanya.
Shukri berkata, beliau nekad untuk menyelesaikan siasatan kes 1MDB dan penyelewengan dana SRC International.
“Keduanya, saya ingin selesaikan isu dalaman SPRM yang berpuak-puak dan menjaga kroni,” katanya.
Jelas Shukri, beliau berjaya menyelesaikan sasarannya itu kurang setahun hasil usaha dan kegigihan pegawainya.