
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perdana menteri akan menjadi pemimpin Asean pertama yang dipelawa berucap di Oxford dan Cambridge Union.
“Alhamdulillah, selepas berbulan merancang, Tun M akan menjadi rakyat Malaysia pertama dan pemimpin yang dipilih secara demokrasi dari Asean untuk berucap di Oxford dan Cambridge Union.
“Ia sudah disahkan, 16 Jun di Cambridge,” katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, Mahathir mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa ketika berucap di Oxford Union pada 18 Januari lalu.
“Tun M akan sentiasa meletakkan Malaysia sebagai wakil sebenar Asean.”
Cambridge Union pernah mengundang ramai pemimpin dunia untuk berucap, termasuk Dalai Lama, bekas presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan dan Theodore Roosevelt serta bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Januari lalu, Mahathir menjadi pemimpin Malaysia pertama berucap di Oxford Union. Beliau menyertai senarai pemimpin terkemuka seperti Winston Churchill dan Margaret Thatcher yang pernah berucap di sana.
Ketika itu, Mahathir mengulangi kritikannya mengenai demokrasi dan pendirian tegas terhadap Israel, selain menolak dakwaan anti-Semitisme serta mempertahankan rekod lampaunya sebagai perdana menteri selama 22 tahun.