
Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean mengenai Hak Asasi Manusia, Eric Paulsen berkata, pekerja migran selalu dihina dengan pelbagai dakwaan yang tidak adil.
Beliau berkata, pekerja terbabit datang ke negara ini untuk mencari pendapatan halal dengan kebanyakan mereka melakukan kerja 3D, iaitu kotor, bahaya dan sukar yang tidak mahu dilakukan oleh rakyat Malaysia.
“Kita bukan sahaja tidak menghargai darah, air mata dan titik peluh pekerja migran ini yang menyumbang kepada pencapaian Malaysia hari ini, malah sikap perkauman terhadap mereka terus wujud,” katanya.
“Contohnya, pada musim perayaan yang menyaksikan ramai daripada kalangan mereka berkumpul di KLCC dan Kota Raya, kita membaca laporan berita negatif tentang pekerja migran ini ‘mengambil alih” bandar raya Kuala Lumpur.
“Saranan perdana menteri itu sangat tepat masa,” katanya kepada FMT.
Dalam ucapannya, Mahathir menggesa rakyat Malaysia supaya sedar bahawa tanpa pekerja asing, negara mungkin kekal tidak dibangunkan.
“Sewaktu kita menikmati semua ini, kita perlu ingat bahawa kemakmuran kita disebabkan titik peluh pekerja asing yang bekerja untuk kita, mereka mencurah tenaga bagi memastikan bekalan makanan sampai kepada kita,” katanya.
Bagaimanapun kata Paulsen, kenyataan umum dan tidak adil selalu dibuat terhadap pekerja asing. Antaranya mengingatkan tentang penyakit yang mereka bawa dan bagaimana mereka menyebabkan masalah sosial atau memangsakan wanita tempatan.
“Saya menggesa rakyat Malaysia supaya bersikap adil terhadap pekerja ini. Seperti kita, mereka hanya mahukan pekerjaan yang halal serta untuk tinggal beberapa ketika di negara ini.”
Katanya, pekerja berdokumen atau tidak berdokumen sering dieksploitasi kerana kedudukan mereka yang terdesak.
Beliau juga menyebut tentang ketiadaan kontrak sah yang menafikan hak mereka untuk mendapat cuti rehat, manfaat statutori, penjagaan kesihatan dan perlindungan insurans seperti yang dinikmati pekerja tempatan.
“Pasport mereka juga kerap diambil oleh majikan. Ini membataskan pergerakan mereka dan mendedahkan mereka kepada penangkapan, layanan buruk dan peras ugut oleh polis apabila didapati tidak memiliki dokumen perlu,” katanya.
“Jika mereka masuk (ke Malaysia) tanpa dokumen, mereka lebih terdedah kepada eksploitasi dan penyeludupan
“Malaysia perlu melayan pekerja asing lebih baik. Berikan gaji dan keadaan pekerjaan lebih adil, serta lindungi mereka daripada eksploitasi.”
Sementara itu, pengarah Inisiatif Utara Selatan, Andrian Pereira yang menggesa supaya digubal Dasar Komprehensif Pekerja Migran Kebansaan berkata, sikap berterima kasih itu tidak harus tinggal dalam kata-kata.
“Melihatkan keadaan pekerjaan dan kehidupan pekerja asing serta reformasi pekerjaan yang berlaku sekarang, kita masih terlalu jauh daripada tahap menawarkan pekerjaan adil kepada pekerja asing,” katanya kepada FMT.
Katanya, ramai rakyat Malaysia menganggap pekerja asing mengambil peluang yang boleh diisi oleh orang tempatan.
Bagaimanapun katanya, di bawah model kapitalis, pekerja yang paling mudah dibuang lebih disukai dan dalam kes ini, pekerja asing yang boleh diminta bekerja melebihi 12 jam sehari pada setiap hari tanpa hari cuti.
“Pekerja Malaysia perlu faham bahawa pekerja asing tidak boleh disalahkan. Majikan dan ejenlah yang mengaut keuntungan daripada keadaan itu.
“Kita juga tidak harus lupa bahawa majikan serta ejen berbuat demikian kerana penguatkuasaan yang lemah dan lompong undang-undang. Eksploitasi itu mesti dihentikan,” katanya.