
Ketua pegawai penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur Azeem Nazuri berkata, jumlah sitaan barangan itu mencatatkan peningkatan hampir 35% tahun ini berbanding hanya 33,280 unit bagi tempoh yang sama tahun lepas.
“Nilainya pula meningkat sehingga 3 kali ganda berbanding tahun lepas yang mencatatkan jumlah hanya RM562,340.
“Namun dari segi jumlah kes, kami berjaya mengendali 75 kes sepanjang tempoh itu tahun lepas,” katanya di pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini.
“Ini menunjukkan keberkesanan KPDNHEP Kuala Lumpur membanteras kegiatan menjual barangan tiruan dan berjaya meningkatkan kadar usaha membanterasnya pada skala lebih besar, meskipun jumlah kes berkurangan tahun ini,” tambahnya.
Beliau berkata, pihaknya pasti tidak akan mencapai kejayaan dengan nilai sitaan yang besar sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada pemilik cap dagang tulen yang banyak menyalurkan maklumat dan hasil risikan bersama.
Azeem berkata, antara barangan tiruan disita adalah beg, kasut dan baju tiruan berjenama antarabangsa.
“Bagi tahun 2018, barangan paling banyak disita penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur ialah barang tiruan jenis aksesori seperti jam tangan jenama mewah bernilai lebih RM250,000.
“Untuk tahun ini, barang tiruan seperti barangan kulit, iaitu beg tangan paling banyak disita dengan nilai menjangkau RM529,600,” katanya.
Beliau berkata, ada antara para peniaga ini menjual barangan tiruan secara runcit di premis masing-masing, dan ada juga yang menjualnya secara borong.
“Kita percaya kesemua barangan tiruan yang disita yang diperoleh dari luar negara. Semua kes melibatkan barangan tiruan ini disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.