
Beliau berkata, ketika ini kerajaan negeri masih lagi berbincang mengenai nama rasmi jambatan tersebut dan pelbagai aspek sedang dipertimbangkan.
“Nama itu kerajaan negeri ada ccadangan tertentu dan kita sedang perhalusi dan akan buat keputusan kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di pekarangan kediaman Seri Iman, di sini, semalam.
Katanya, tarikh pembukaan jambatan tersebut secara rasmi belum diputuskan lagi.

“Selepas ditutup 17 Jun ini, kita akan buat penambahbaikan setelah kita tengok dalam masa 15 hari itu (tempoh percubaan) apa masalahnya, seperti ada atau tidak papan tanda baru yang perlu dibuat dan pelbagai aspek lain sebelum kita buat keputusan bila hendak buat (perasmian jambatan),” katanya.
Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter yang mempunyai 2 menara setinggi 16 tingkat itu dibuka untuk percubaan Ahad lepas hingga 17 Jun.
Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu menjadi jambatan ke-4 menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding 3 ketika ini, melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.
Jambatan itu mula dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem “semboyan” jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.
Setelah tamat pengujian sistem pada 17 Jun ini, jambatan angkat akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain.
Tarikh pembukaan rasminya akan dimaklumkan setelah semua kerja dan pentauliahan komponen projek selesai.