3 sekeluarga mati dipanah petir di Jempol

3 sekeluarga mati dipanah petir di Jempol

Pemeriksaan di kandang kambing milik mangsa turut mendapati 7 ekor kambing dan 2 ekor anjing mati dengan kesan terbakar pada bulu haiwan terbabit.

Seorang lagi anak pasangan mangsa berusia 9 tahun turut mengalami kecederaan di kaki dalam kejadian dipanah petir. (Gambar AFP)
JEMPOL:
Sepasang suami isteri bersama seorang anaknya ditemui mati di sebuah kandang kambing di Felda Palong Enam dekat sini, dipercayai akibat dipanah petir petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.00 petang itu, mangsa S Elangovan, 38, P Kaliammah, 36, dan anak lelaki mereka, E Vinesh, 3 tahun, maut di tempat kejadian.

“Seorang lagi anak pasangan itu yang berusia 9 tahun, turut mengalami kecederaan di kaki dalam kejadian berkenaan.

“Kami menerima laporan mengenai kejadian itu jam 11.50 malam tadi dan sebaik tiba di lokasi kejadian, polis menemui 3 mayat dalam keadaan terduduk dan terbaring,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, sebelum itu, seorang ahli keluarga mangsa meminta bantuan jiran untuk mencari mangsa kerana tidak pulang-pulang selepas pergi ke kandang itu pada petang yang sama.

“Jiran yang ke kandang itu pada mulanya mendengar tangisan kanak-kanak yang cedera sebelum menemui 3 mangsa lain.

“Ketika kejadian, cuaca dipercayai hujan lebat dan petir sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di kandang itu turut mendapati 7 ekor kambing dan 2 ekor anjing turut mati dengan kesan terbakar pada bulu haiwan itu.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, hasil bedah siasat ke atas semua mangsa pagi ini mendapati mangsa mengalami kejutan elektrik akibat petir dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.