
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata kejayaan itu hasil Ops Cantas sepasukan polis dari cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kepala Batas pada 29 Mei lalu yang menahan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun di Bakar Kapor, Penaga.
Katanya, hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan 3 lagi rakannya, termasuk seorang lelaki warga Indonesia, dengan ketiga-tiganya bertindak sebagai pembeli barang curi.
“Hasil soal siasat, keempat-empat suspek mengaku terlibat dalam kes pecah tabika dan rumah di sekitar kawasan Kepala Batas dan Teluk Ayer Tawar,” katanya pada sidang media semalam.
Beliau berkata, suspek menggunakan sebuah stor di Penaga untuk menyimpan barang curi.
Noorzainy berkata, polis turut merampas beberapa televisyen LCD pelbagai jenama, sebuah kereta Proton Saga, radio jenama Panasonic, beg bimbit dan 2 komputer riba. Nilai rampasan dianggarkan melebihi RM5,000.
Beliau percaya dengan tangkapan itu, polis menyelesaikan 3 kes pecah tabika dan rumah di sekitar Kepala Batas dan semua suspek direman 7 hari mulai 31 Mei lalu.
Dalam operasi berasingan, Noorzainy berkata, sepasukan polis menahan seorang lelaki yang memegang sebilah parang dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan Ops Khas Aidilfitri di Butterworth semalam.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki serbuk berwarna putih disyaki dadah dan dia dibawa ke Balai Polis Seberang Perai Utara untuk siasatan lanjut.
“Hasil soal siasat awal terhadap lelaki berusia 39 tahun dari Butterworth itu, polis merampas sebilah parang, 16 paket kecil lutsinar berisi heroin, 10 paket kecil plastik lutsinar yang mengandungi syabu, 2 telefon bimbit, seutas jam tangan dan sebuah motosikal dengan nilai rampasan berjumlah RM11,000.”
Katanya, suspek yang mempunyai 10 rekod jenayah dan dadah direman 7 hari bermula tarikh tangkapan.