
“Pendapat yang sering memerlukan pembetulan semasa sesi-sesi yang dilaksanakan secara langsung ini adalah salah tanggapan kerajaan menjanjikan peminjam tidak perlu membayar pinjaman mereka atau pemansuhan PTPTN sebahagian manifesto kempen kerajaan untuk pilihan raya umum ke-14,” kata Pengerusi Panel Penasihat Bebas Konsultasi PTPTN, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, 2 janji dalam manifesto PH ialah memansuhkan larangan perjalanan ke luar negara dan penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.
Katanya, larangan perjalanan ke luar negara dibatalkan sejurus PH memenangi PRU14 dan janji ke-2 akan dibincangkan Kabinet selepas pihaknya menyerahkan kertas konsultasi rakyat yang mengandungi maklum balas orang ramai.
Sheikh Shahruddin berkata, antara faktor disenaraikan dalam kertas konsultasi rakyat ialah jika penangguhan bayaran balik diperkenalkan, kutipan PTPTN akan merosot kepada RM950 juta setahun kerana 68% peminjam bergaji RM4,000 ke bawah.
Katanya, kertas konsultasi itu turut mengunjurkan siswazah baru bergaji permulaan RM2,000 dengan kenaikan gaji tahunan 5% memerlukan 15 tahun untuk mencapai gaji RM4,000.
“Persoalannya ialah sama ada bayar sekarang atau bayar kemudian apabila umur peminjam sudah mencapai lewat 30-an, tetapi bukan tidak membayar langsung yang merupakan andaian umum yang berleluasa.”
Beliau berkata, rakyat bebas mencadangkan pemansuhan PTPTN, jika mereka sedar dan boleh menerima kesannya serta mempunyai idea lebih baik untuk menangani kesannya.
Katanya, jika PTPTN dimansuhkan, sektor swasta terpaksa menyediakan pinjaman pendidikan tinggi dan pelajar akan dibebani kadar faedah lebih tinggi kerana ujrah dikenakan PTPTN hanya 1%, tetapi faedah pinjaman komersial lebih tinggi.
Ketua Kumpulan Operasi Bank Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) itu berkata, yang akan menerima kesan pemansuhan ialah pelajar miskin dan berpendapatan rendah (B40) kerana pinjaman komersial menetapkan syarat kelulusan lebih ketat.
“Dari perspektif kewangan, hutang semasa PTPTN yang berjumlah RM40 bilion terpaksa dialihkan kepada kerajaan dan pembayar cukai.
“Sekiranya peminjam yang masih berhutang dilepaskan, ada kemungkinan kerajaan terpaksa membayar balik peminjam bertanggungjawab yang sudah membayar pinjaman mereka sepenuhnya atau sedang membayar secara konsisten yang akan menambahkan bebanan kewangan negara.”
Sheikh Shahruddin menggesa semua pihak, bukan hanya peminjam PTPTN memberi maklum balas sebelum 13 Jun ini menerusi konsultasi rakyat yang dilancarkan sejak 16 Mei lalu.
Sehingga kini, konsultasi rakyat merekodkan 18,862 penyerahan maklum balas daripada 180,163 pengunjung di laman web rasminya.
“Inisiatif konsultasi rakyat PTPTN dilaksanakan untuk memastikan pelbagai segmen rakyat diwakili bagi membolehkan Kabinet membuat keputusan yang adil, seimbang dan tidak hanya memenuhi satu kumpulan dan mengorbankan kepentingan kumpulan lain.”