Kakitangan SPRM tak sepakat mengenai pelantikan Latheefa

Kakitangan SPRM tak sepakat mengenai pelantikan Latheefa

Sesetengah kakitangan berpandangan Latheefa boleh pertingkatkan SPRM tetapi ada juga yang berasa bimbang.

PETALING JAYA:
Kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak bersepakat mengenai pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai ketua mereka.

Sumber-sumber yang bercakap dengan FMT menggambarkan peguam hak asasi itu sebagai seseorang yang berprinsip dan boleh membaiki imej SPRM.

“Selepas peristiwa Teoh Beng Hock, beberapa kakitangan benar-benar mahu bersihkan nama SPRM,” kata sumber itu, merujuk kepada kejadian melibatkan seorang pembantu Adun Selangor yang meninggal dunia dalam tahanan SPRM pada 2009.

Sumber juga mendedahkan beberapa kakitangan melihat Latheefa sebagai seorang “pemikir kritis” yang diperlukan badan itu untuk memerangi pihak-pihak yang korup.

“Dia seorang peguam dan dia boleh pertingkatkan suruhanjaya ini dengan latar belakang undang-undangnya,” katanya.

Bagaimanapun, sekumpulan kakitangan terkejut dengan pelantikan Latheefa.

“Kami sudah biasa bekerja dengan Shukri, yang tahu bagaimana SPRM beroperasi,” kata seorang pegawai kanan yang tidak mahu dinamakan kepada FMT.

Beliau merujuk kepada ketua pesuruhjaya sebelum ini, Mohd Shukri Abdull.

Sumber berkata beberapa kakitangan bimbang dengan perubahan kepimpinan itu dan tidak pasti apa yang akan berlaku selepas ini.

Ketiga-tiga sumber itu mengulas pelantikan Latheefa yang berkuatkuasa 1 Jun lepas, menggantikan Shukri yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.