
Bagaimanapun, seorang peguam jenayah tidak bersetuju dengan hukuman itu kerana pesalah muda hanya perlu menjalani kaunseling dan pemulihan, bukannya dipenjarakan.
Aktivis, Christina Teng yang juga seorang peguam berkata, semua mangsa penyalahgunaan dadah perlu menjalani kaunseling dan pemulihan, serta hukuman penjara masih perlu sebagai satu bentuk pencegahan.
Katanya, sistem keadilan memberi kelonggaran bagi pesalah muda menyebabkan mereka sering dijadikan keldai dadah oleh sindiket jenayah.
Beliau berkata, kemudahan kaunseling dan pemulihan perlu disediakan di semua penjara atau pusat pemulihan belia.
“Tetapi malangnya, adakah kita mempunyai bajet dan kemudahan mencukupi untuk berbuat demikian?” soalnya.
Teng berkata, hukuman penjara boleh memberi pengajaran kepada pesalah muda.
“Mereka akan dibebaskan kurang daripada 9 bulan (dengan satu pertiga hukuman dipendekkan atas kelakuan baik), diharapkan mereka boleh dipulihkan ketika berada dalam penjara.”
Katanya, isu lebih besar ialah bagaimana memerangi peningkatan jumlah kes penyalahgunaan dadah.
“Malah, kanak-kanak kelainan upaya turut mengambil dadah kerana mereka mampu membelinya,” katanya sambil menambah pesalah muda memerlukan pendidikan, kebajikan dan sokongan masyarakat yang lebih baik.
Beliau berkata, anak muda ialah mangsa mudah dan hukuman, pemulihan serta kaunseling perlu dilaksanakan serentak.
Tetapi, katanya, kemudahan penjara adalah terhad dan tidak mampu menampung jumlah banduan yang ramai.
Bekas ketua polis negara, Musa Hassan berkata anak muda yang ketagihan dadah sering mempengaruhi orang lain.
Katanya, hukuman penjara mampu mencegah pesalah muda daripada bersama penagih dadah lain dan akan memudahkan proses pemulihan.
Bagaimanapun, peguam jenayah, S N Nair membantah hukuman penjara dijatuhkan kepada pesalah muda.
Katanya, pesalah muda sepatutnya dikehendaki menjalani “kaunseling dan pemulihan saja” serta tiada hukuman penjara perlu dilaksanakan.
Seorang remaja berusia 17 tahun yang memperolehi 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dijatuhi hukuman penjara setahun, selepas mengaku bersalah memiliki 1kg daun ketum pada 2018 dan perlu menjalani hukuman itu sehingga Ogos ini.
Dalam wawancara dengan Bernama di Penjara Marang baru-baru ini, pemuda itu mengaku menyesal atas perbuatannya sedangkan sepanjang belajar di sebuah sekolah menengah di Kota Bahru, Kelantan, beliau adalah pelajar contoh dan cemerlang.
Dia mengakui kesilapan itu berpunca daripada dirinya. Katanya, dia tiada kawan karib dan sering keseorangan sehingga menemui 5 rakan sekampung yang sudi berbual dengannya.
“Dalam tempoh mereka rapat dengan saya itu, beberapa kali dapat tengok mereka menelan pil kuda dan air ketum, tetapi masih mampu mengelak.
“Namun, perasaan ingin tahu itu lebih menebal hingga akhirnya saya ketagih hingga sanggup menghabiskan duit untuk membelinya,” katanya yang sempat belajar di Sekolah Integriti disediakan penjara.