Hutang kerajaan turun 3.9% hasil rasionalisasi projek mega, kata Guan Eng

Hutang kerajaan turun 3.9% hasil rasionalisasi projek mega, kata Guan Eng

Menteri kewangan berkata, ia juga adalah hasil rasionalisasi ke atas pembayaran projek Kerjasama Awam Swasta.

Lim Guan Eng berkata, Jawatankuasa Pengurusan Hutang akan meneruskan usaha konsolidasi fiskal bagi mengawal peningkatan hutang langsung kerajaan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
PUTRAJAYA:
Hutang dan liabiliti kerajaan persekutuan berkurangan kepada 75.4% berbanding keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2018 daripada 79.3% pada 2017, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, ia adalah hasil rasionalisasi ke atas kos projek mega seperti projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), serta pembayaran projek Kerjasama Awam Swasta atau Public-Private Partnership (PPP).

“Walaupun terdapat peningkatan hutang langsung kerajaan, secara keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah turun 3.9 mata peratusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, komitmen kewangan lain yang dimulakan kerajaan terdahulu termasuk pembayaran pajakan PPP dan liabiliti lain seperti 1MDB.

Katanya, komponen itu turun 6.8 mata peratusan kepada 15% berbanding KDNK pada 2018 daripada 21.8% pada 2017.

“Penurunan 6.8 mata inilah yang membolehkan kerajaan mengurangkan tanggungan hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan dalam tempoh setahun.”

Lim berkata, kerajaan komited terus mengurangkan tanggungan hutang dan liabiliti negara secara keseluruhan dan bukannya hanya memberi tumpuan menurunkan hutang langsung kerajaan.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH) yang baru ditubuhkan akan meneruskan usaha konsolidasi fiskal bagi mengawal peningkatan hutang langsung kerajaan tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Usaha ini yang akan dijalankan seiring tadbir urus lebih telus dan lebih baik mampu mengurangkan lagi hutang dan liabiliti kerajaan secara keseluruhan pada 2019 dan seterusnya.”

Semalam, Kementerian Kewangan dilaporkan berkata, JPH dalam mesyuarat pertamanya Jumaat lalu yang dipengerusikan Lim meneliti kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan berjumlah RM1.1 trilion atau 75.4% daripada KDNK setakat akhir 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.