
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata sehingga kini pihaknya tidak mendapat sebarang arahan daripada perdana menteri untuk menggantikan penyandang jawatan itu.
“Jawatan pengerusi dan CEO yang dilantik oleh Kementerian Kewangan adalah selepas mendapat surat dan catitan daripada perdana menteri sendiri dan sehingga kini arahan belum diterima daripada perdana menteri bagi pertukaran, maka jawatan pengerusi dan CEO TM masih orang sama,” katanya pada sidang media di Perpustakaan Digital Pulau Pinang di sini, hari ini.
Beliau mengulas artikel bertajuk “Stand-off CEO Telekom” yang disiarkan akhbar kewangan, The Edge Financial Daily semalam.
Laporan itu antara lain memetik sumber mendakwa Pengerusi TM, Rosli Man enggan meneruskan pelantikan pemangku CEO, Imri Mokhtar bagi menggalas tugas itu walaupun pelantikannya diluluskan pemegang saham khas TM, Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Sementara itu, Lim berharap isu pelantikan 2 jawatan itu kini jelas dan bukannya berdasarkan sumber ke-2 atau ke-3.