
Presiden Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi), Roslan Md Esa yang memperjuangkan nasib peneroka Felda berkata, keputusan itu membuktikan kuasa rakyat lebih besar dan kerajaan terbuka dengan kritikan serta pandangan disuarakan badan bukan kerajaan.
“Terima kasih sebab dengar pandangan Generasi dan peneroka keseluruhannya. Apa yang penting bagi kami, jika apa yang dilakukan itu baik, kita akan sokong tanpa berbelah bahagi.
“Jika ianya salah dan tidak betul, kami akan bangkang dan bagi cadangan. Sebab itu benar apa yang disebut kuasa rakyat adalah kuasa keramat.
“Harap apa yang diumumkan itu benar-benar menjadi realiti kerana saya dapati ramai peneroka menarik nafas lega, cuma pastikan ia disalurkan segera mungkin,” katanya ketika dihubungi FMT.
Semalam, Mahathir mengesahkan semua peneroka Felda akan menerima “duit raya” RM300 yang akan membabitkan kos RM34 juta.
Ia selepas tersebar pekeliling menyatakan Kabinet bersetuju memberi bantuan khas Aidilfitri kepada 112,635 peneroka.
Pada 23 Mei lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, kerajaan tidak berhasrat memberi bantuan raya kepada peneroka Felda tahun ini disebabkan kedudukan semasa kewangan negara yang kurang memberangsangkan.
Katanya, Putrajaya sedang memberi keutamaan untuk memastikan insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil dapat disalurkan kepada peneroka Felda sebelum Aidilfitri ini.
Kenyataan itu mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk pemimpin pembangkang dan NGO.