
Presidennya, Abdul Majid Ahmad Khan berkata, ia juga menunjukkan bahawa perdana menteri mengiktiraf pencapaian China dalam bidang teknologi tinggi.
“Huawei adalah produk yang kompetitif, efisien dan menguntungkan pengguna. Ini pengiktirafan Dr Mahathir bahawa negara Asia mampu mengeluarkan barang berteknologi tinggi, apatah lagi negara itu menjalin hubungan kuat dengan kita dan produk mereka dapat diterima di pasaran.
“Kita tak kata produk AS (Amerika Syarikat) tidak bermutu. Ini soal kuasa pasaran,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, malam tadi.
Mengenai perang perdagangan antara China dan AS, Abdul Majid berkata, Malaysia harus menggalakan kedua-dua negara besar itu mencari titik damai serta formula kerjasama yang baik.
Katanya, China dan AS mempunyai hubungan besar dengan semua negara dan ia memberi lebih keuntungan kepada Malaysia dan negara Asean lain sekiranya kedua-dua negara dapat bekerjasama.
Beliau, yang juga pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, PPMC menjalankan banyak program pertukaran antara rakyat Malaysia dan China bagi meningkatkan pemahaman antara rakyat kedua-dua negara.
Katanya, persatuan tersebut turut bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan permintaan dalam perdagangan dan ekonomi, selain menguatkan hubungan antara belia kedua-dua negara menerusi program pertukaran itu.