Bekas duta dilantik utusan khas OIC bagi proses damai selatan Filipina

Bekas duta dilantik utusan khas OIC bagi proses damai selatan Filipina

Kementerian Luar berkata, Ibrahim Abdullah mempunyai pengalaman 30 tahun dalam bidang diplomasi.

Ibrahim Abdullah menerima watikan pelantikan duta Malaysia ke Syria daripada Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara pada 16 Julai 2008. (Gambar Bernama)
MAKKAH:
Bekas duta besar Malaysia ke Perancis, Ibrahim Abdullah dilantik sebagai utusan khas setiausaha agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kepada proses damai di selatan Filipina.

Pelantikan itu yang diterima Sidang Kemuncak OIC dimasukkan dalam Pernyataan Akhir hari ini yang dipengerusikan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang juga penjaga dua kota suci Islam.

“Ibrahim Abdullah mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang diplomasi. Beliau adalah duta besar ke Jerman, Syria dan Pesuruhjaya Tinggi ke Nigeria,” menurut kenyataan Kementerian Luar.

Menurut kenyataan itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah memberi taklimat kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini mengenai persidangan itu, acara luar mesyuarat dan hasil sidang kemuncak itu.

Timbalan perdana menteri itu mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak OIC ke-14 di sini pada 31 Mei yang bertemakan “Sidang Kemuncak Makkah Al-Mukarramah: Berganding Bahu Ke Arah Masa Depan”.

Wan Azizah diiringi Menteri Luar, Saifuddin Abdullah serta pegawai dari pejabatnya dan Kementerian Luar.

Kenyataan itu menyebut semua negara anggota OIC menghadiri sidang kemuncak itu, kecuali Syria kerana keanggotaannya digantung sejak 2012.

Sidang kemuncak itu membincangkan secara mendalam isu politik, ekonomi dan sosio budaya yang dihadapi umat Islam dan hanya 10 negara menyampaikan kenyataan negara, iaitu Arab Saudi, Bahrain, Kuwait, Jordan, Turki, Tunisia, Senegal, Nigeria, Bangladesh dan Pakistan.

Sidang kemuncak itu berakhir hari ini dengan menerima pakai 3 dokumen, iaitu Pernyataan Akhir, Resolusi mengenai Palestin dan Al-Quds Al-Sharif serta Deklarasi Makkah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.