
Blok berpusat di Jeddah itu dalam kenyataan pada Khamis berkata, persiapan sedang dilakukan untuk sesi khas itu yang akan membincangkan serangan berterusan Israel dan cubaan “mengukuhkan pendudukan” di wilayah berkenaan.
Katanya, mesyuarat itu juga akan memfokuskan penyelarasan pendirian berhubung isu “genosid, kebuluran, pemindahan paksa, pengepungan dan malapetaka kemanusiaan yang belum pernah berlaku di Gaza”.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menolak usaha pengantaraan gencatan senjata dan mengarahkan tenteranya mempercepatkan pelaksanaan rancangan menduduki Bandaraya Gaza.
Rancangan itu, yang diluluskan 8 Ogos lalu, menyeru hampir sejuta penduduk dipindahkan ke selatan, mengepung Bandaraya Gaza dan melancarkan serangan darat ke kawasan kediaman penduduk.
Pada 11 Ogos lalu, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas kejiranan Zeitoun di tenggara Bandaraya Gaza, menggunakan robot dipasang bahan letupan untuk merobohkan rumah, disokong bedilan artileri dan pemindahan paksa, menurut saksi.
Israel membunuh hampir 62,200 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023.
Kempen ketenteraan itu memusnahkan wilayah berkenaan, yang kini menghadapi kebuluran.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya, Yoav Gallant atas jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah itu.