Ringgit terus susut berbanding dolar AS

Ringgit terus susut berbanding dolar AS

Langkah terbaru Donald Trump berhubung perang perdagangan yang menyasarkan import Mexico menyebabkan pasaran pesat membangun, termasuk Malaysia tertekan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mencadangkan mata wang baru bersandarkan emas kerana lebih stabil berbanding mata wang semasa yang terdedah kepada manipulasi.
KUALA LUMPUR:
Ringgit terus menyusut berbanding dolar AS untuk dibuka lebih rendah hari ini, berikutan dolar terus mengukuh walaupun landskap risiko global masih tidak menentu, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.1950/1980 berbanding dolar US daripada 4.1890/1940 semasa ditutup pada Khamis.

Seorang peniaga berkata, langkah terbaru Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam perang perdagangan dengan menyasarkan import Mexico, menyebabkan pasaran negara sedang pesat membangun termasuk Malaysia berdepan tekanan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Jepun semalam mencadangkan mata wang baru bersandarkan emas kerana ia lebih stabil berbanding perdagangan mata wang semasa yang terdedah kepada manipulasi.

Beliau berkata, dengan menggunakan logam berharga itu, ia boleh digunakan untuk menilai aktiviti eksport dan import dalam kalangan negara Asia Timur.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kebanyakan mata wang utama yang lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0388/0420 daripada 3.0368/0409 pada Khamis dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.8391/8429 daripada 3.8182/8239.

Bagaimanapun, mata wang tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2895/29491 daripada 5.2911/2991, tetapi susut berbanding euro kepada 4.6699/6753 daripada 4.6674/6738.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.