
Plus Malaysia Berhad (PLUS) bakal tampil dengan kapsul tidur untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan berehat.
Ini merupakan satu inisiatif yang baik daripada pihak PLUS untuk pemandu mendapat rehat yang mencukupi bagi mengurangkan kemalangan jalan raya terutamanya kepada pemandu kenderaan berat.
Selain isu kemalangan jalan raya di musim perayaan, sekarang ni makin banyak kes tidur dalam kereta bertukar tragedi hingga melibatkan kehilangan nyawa akibat lemas dalam kenderaan.
Ini semua gara-gara terlalu letih dan mengantuk semasa memandu selain kurang kesedaran awam tentang bahaya yang boleh berlaku ketika tidur dalam kenderaan.
Untuk pengetahuan, sebelum ini pihak PLUS ada menyediakan hotel di RnR tetapi tidak mendapat sambutan daripada pengguna jalan raya dan telah menutup hotel tersebut.
Akan tetapi, kini pihak PLUS mengetengahkan idea untuk membuka kapsul tidur untuk memberi peluang kepada pemandu untuk menikmati “quick nap” sebelum meneruskan pemanduan.
Bagaimanapun, projek ini masih dalam peringkat kajian dan dijangka akan dilaksana tahun hadapan.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berharap dengan perlaksanaan projek ini akan membantu pemandu yang penat dalam pemanduan untuk berehat sebentar agar kembali segar dan dapat meneruskan perjalanan.
“Kita sentiasa melihat kepada kemahuan pengguna… kapsul tidur yang juga dipanggil ‘time capsule’ ini akan memberi peluang kepada pemandu terutamanya pemandu kenderaan berat untuk mereka ambil ‘quick nap’ pada waktu malam sebelum mereka meneruskan pemanduan.
“Ini antara penambahbaikan fasiliti sedang dikaji dan kita berharap langkah ini nanti dapat mengurangkan keletihan dalam kalangan pemandu kenderaan berat dan mereka boleh memandu dalam keadaan segar… sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan akibat mengantuk dan kepenatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Azman berkata kapsul tidur tersebut akan dibina di RnR memandangkan ia mempunyai kawasan parkir kenderaan berat yang luas, selain menyediakan pelbagai fasiliti lain termasuk tandas yang lengkap dengan bilik mandi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]