
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan, walaupun Malaysia dimasukkan dalam senarai pemantauan negara manipulator mata wang, laporan itu tidak menamakan Malaysia sebagai manipulator mata wang.
“Mana-mana negara yang mempunyai jumlah dagangan melebihi AS$40 bilion setahun dengan AS akan diperiksa oleh Perbendaharaan AS untuk penelitian lanjut.
“Malaysia dimasukkan dalam Senarai Pemantauan tersebut di atas dua faktor. Pertama, Malaysia mempunyai lebihan dagangan dengan Amerika Syarikat melebihi USD20 bilion setahun. Kedua, Malaysia mempunyai lebihan akaun semasa yang sihat melebihi 2% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kedua-dua faktor itu menonjolkan daya saing ekonomi Malaysia dan bukannya bukti berlakunya manipulasi mata wang.
Semalam dilaporkan AS memasukkan Malaysia dalam senarai pemantauan rakan pedagang utama, yang mewajarkan pemerhatian terhadap amalan-amalan mata wang dan dasar-dasar makro-ekonomi.
Menurut laporan Perbendaharaan AS kepada Kongres mengenai makro-ekonomi dan dasar-dasar tukaran asing yang diterbitkan bulan ini, senarai itu turut menyenaraikan China, Jepun, Korea Selatan, Jerman, Itali, Ireland, Singapura dan Vietnam.
Semua negara yang memenuhi 2 daripada 3 kriteria yang ditetapkan Akta Fasilitasi Perdagangan dan Penguatkuasaan Perdagangan AS.
Kriteria itu adalah: Lebihan ketara perdagangan 2 hala dengan AS, lebihan akan semasa, dan campur tangan sebelah pihak secara berterusan dalam pasaran tukaran asing.
Lim berkata penyenaraian Malaysia bersama negara-negara pedagang utama lain seperti Jerman, Korea Selatan, Jepun dan Singapura hanya menekankan kekuatan ekonominya.
“Seperti yang diperakui dalam laporan Perbendaharaan AS, Malaysia tidak campur tangan dalam pasaran pertukaran mata wang asing dengan tujuan melemahkan nilai ringgit. Oleh itu, Malaysia tidak digelarkan sebagai manipulator mata wang,” katanya.
Beliau menambah, Bank Negara menekankan Malaysia menerima pakai rejim kadar pertukaran terapung dan sebarang intervensi yang dilakukan adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya perubahan kadar pertukaran yang keterlaluan.
“Ini bermaksud penyenaraian tersebut tidak membawa kesan kepada Malaysia, dan tiada denda atau sekatan ekonomi akan dikenakan terhadap Malaysia,” katanya.