Lynas mesti patuhi undang-undang, kata Wong Tack

Lynas mesti patuhi undang-undang, kata Wong Tack

Perniagaan dalam semua industri perlu mematuhi undang-undang kerana merosakkan alam sekitar dan membahayakan anak-anak tidak boleh diterima.

Wong Tack.
PETALING JAYA:
Tidak sampai 48 jam selepas ahli politik DAP, Wong Tack, seorang pengkritik Lynas Crop yang lantang, mengatakan pengeluar nadir bumi Australia itu “terang-terangan melanggar undang-undang negara”, ahli Parlimen Bentong itu hari ini berkata tidak salah lesennya diperbaharui jika ia mematuhi undang-undang.

Perkembangan ini selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Tokyo hari ini mengumumkan Lynas akan dibenarkan beroperasi di loji pemprosesannya yang bernilai AS$800 juta (RM3.36 bilion) di Gebeng, Pahang.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media, Mahathir berkata Malaysia tidak mahu kehilangan pelaburan yang sebegitu besar.

Lesen operasi untuk loji pemprosesan Lynas di negara ini, yang perlu diperbaharui pada September, terancam susulan kebimbangan mengenai pelupusan sisa.

“Seperti yang dikatakan Mahathir sebelum ini. Lynas kini akan dibenarkan beroperasi tetapi perlu memenuhi dan mematuhi undang-undang kita,” kata Wong Tack kepada FMT.

Beliau berkata perkara sama juga terpakai ke atas perniagaan-perniagaan dalam semua industri.

“Merosakkan dan mencemar alam sekitar dan membahayakan anak-anak dan tanah kita tidak boleh diterima,” tambahnya.

FMT sedang mendapatkan komen Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Ahli Parlimen Fuziah Salleh.

Wong Tack semalam mendakwa lebih 1 juta tan sisa dilongokkan secara terbuka di kawasan belakang Lynas. Menurut undang-undang tempatan, sisa itu tidak boleh melebihi 20 tan dan perlu dilupuskan selepas 180 hari, katanya.

Mahathir pada April berkata, Lynas atau mana-mana syarikat lain perlu membersihkan bahan mentah yang masuk ke Malaysia jika mahu beroperasi di negara ini.

Lynas bertegas ia sentiasa mematuhi peraturan-peraturan penyimpanan kerajaan dan kemudahan-kemudahan penyimpanan sisanya dioperasikan dengan cara yang betul.

Sementara itu, Lynas dalam satu respon segera menyambut baik pengumuman perdana menteri.

“Kami akan sediakan laporan kemas kini apabila terdapat perkembangan selanjutnya,” kata Naib Presiden Mashal Ahmad.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski berkata Australia menanti butiran lanjut mengenai keputusan pembaharuan lesen itu apabila tiba waktunya.

“Kami menyambut baik komen Mahathir di Tokyo hari ini iaitu kerajaannya berhasrat untuk memperbaharui lesen operasi Lynas Malaysia,” katanya.

Lynas satu-satunya pengeluar nadir bumi utama di luar China, yang penting dalam pembikinan produk seperti komputer dan telefon bimbit.

Lynas semakin penting susulan pertelingkahan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, yang mengeluarkan sebahagian besar bekalan dunia.

Lynas melombong bijih di Australia dan menghantarnya ke loji pemprosesan di Pahang.

Awal bulan ini, Australia menolak cadangan untuk menerima sisa daripada loji di Pahang. Menteri Perlombongan Australia Barat, Bill Johnston berkata undang-undang negaranya melarang pengimportan sisa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.