Kecualikan bayaran regularisasi anak pekerja, kata pekebun sawit

Kecualikan bayaran regularisasi anak pekerja, kata pekebun sawit

Di bawah program regularisasi yang berjalan dari 1 April hingga 30 Sept tahun ini, seorang pekerja Indonesia dikenakan yuran imigresen sebanyak RM1,705 dan yuran agensi RM1,060.

Terdapat kira-kira 258,000 pekerja dalam industri kelapa sawit di Sabah yang meliputi keluasan 1.55 juta hektar.
KOTA KINABALU:
Kumpulan yang melindungi kepentingan industri perladangan di Malaysia menggesa kerajaan Sabah supaya menimbangkan pengecualian bayaran regularisasi ke atas tanggungan pekerja dan memastikan yuran agensi dikendalikan sendiri oleh kerajaan negeri bagi mengurangkan kadarnya.

Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA) berkata, program regularisasi selama 5 bulan yang dijalankan bermakna agensi terlibat akan mendapat durian runtuh kerana mereka akan memperoleh yuran ke atas tanggungan pekerja yang puratanya berjumlah antara 3 ke 5 orang.

“Jika kos regularisasi terlalu tinggi, banyak estet dan pekebun kecil tidak akan mendaftarkan tanggungan mereka,” kata presiden MEOA, Jeffrey Ong kepada FMT.

“Jika itu berlaku, kami percaya ia akan menggagalkan matlamat kerajaan Sabah untuk menentukan jumlah pendatang tanpa izin yang bekerja di negeri ini.”

Di bawah program regularisasi yang berjalan dari 1 April hingga 30 September tahun ini, seorang pekerja Indonesia dikenakan yuran imigresen persekutuan sebanyak RM1,705 dan yuran agensi sebanyak RM1,060, menjadikan jumlahnya RM2,765.

Pasangan pekerja dikenakan yuran berjumlah RM1,365, sementara setiap anak dikenakan yuran RM1,065 yang perlu dibayar oleh syarikat.

Terdapat kira-kira 258,000 pekerja dalam industri kelapa sawit di Sabah yang meliputi keluasan 1.55 juta hektar.

Ong berkata, sekiranya hanya separuh daripada pekerja perlu diregularisasi, maka jumlah orang yang terlibat dalam program itu akan mencecah seramai 516,000 orang dengan mengandaikan seorang pekerja mempunyai seorang pasangan dan purata 2 anak.

“Jadi jumlah kos regularisasi pekerja akan mencecah RM357 juta.

“Selain itu, eksesais regularisasi melibatkan isteri dan anak pekerja pula masing-masing akan menelan kos tambahan sebanyak RM176 juta dan RM275 juta.

Justeru jumlah keseluruhan kos pengendalian dan pemprosesan itu adalah sebanyak RM880 juta, yang hampir sama banyak dengan cukai jualan yang dibayar oleh industri tersebut tahun lepas, katanya.

“Daripada eksesais ini, imigresen dijangka mengutip yuran regularisasi sebanyak RM364 juta, sementara agensi terbabit mendapat RM445 juta.”

Ong berkata, jika hanya separuh daripada eksesais itu dijalankan, jumlah kos terlibat masih merupakan tamparan besar terhadap industri yang menurutnya sedang berdepan masalah.

Walaupun MEOA tidak membantah jumlah yuran yang dikenakan ke atas pekerja, namun yuran yang dikenakan ke atas tanggungan mereka adalah terlalu tinggi bagi sesetengah pekebun kecil.

Beliau berkata, ramai majikan keberatan untuk meregularisasikan pekerja masing-masing kerana risiko mereka melarikan diri.

Kerajaan juga dibimbangi gagal mencapai matlamatnya untuk memastikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di seluruh negara sekiranya pekebun tidak mematuhi program regularisasi.

Ong mencadangkan kerajaan Sabah menjalankan program tersebut melalui agensinya sendiri yang menurutnya boleh mengurangkan kos.

“Justeru semua hasil akan disalurkan kepada kerajaan negeri. Lebih penting, ia akan membantu mencapai objektif program untuk mendapatkan maklumat tepat mengenai pekerja asing dan tanggungan mereka,” kata beliau.

Katanya, MEOA telah mengemukakan laporan terperinci kepada kerajaan negeri berserta cadangannya itu dan berharap mendapat respons positif dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.