Facebook suspek bunuh pemandu Grab ‘diserang’ pengguna internet

Facebook suspek bunuh pemandu Grab ‘diserang’ pengguna internet

Facebook suspek dibanjiri komen rakyat Sabah yang kebanyakannya berkata mereka tidak sabar untuk melihat suspek berdepan dengan hakim.

Pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaffar dirompak dan maut ditikam beberapa kali di dada kanannya.
KOTA KINABALU:
Pengguna internet yang berang berjaya mengesan apa yang mereka percaya sebagai akaun media sosial milik 2 individu yang disyaki menyamun dan membunuh pemandu Grab, yang dilihat dibanjiri komen panas sejak kedua-dua mereka ditahan beberapa hari lalu.

Walaupun pihak berkuasa belum mengumumkan nama mereka, namun akaun Facebook itu dibanjiri komen rakyat Sabah, yang kebanyakannya berkata mereka tidak sabar untuk melihat suspek berdepan dengan hakim.

Aktiviti terbaru dalam salah satu akaun itu dicemuh hebat, termasuk kemas kini “cover photo” pada 27 Mei, hanya beberapa hari selepas jenayah itu didakwa dilakukan.

Satu video suspek yang disyaki menyanyi beberapa lagu yang dimuat naik sehari sebelum kejadian menerima kecaman dengan lebih 4,500 komen pengguna media sosial yang menyatakan harapan agar undang-undang akan memberikannya hukuman yang setimpal.

Pada 27 Mei, polis Sabah menahan 2 suspek, seorang warga tempatan dan seorang lagi warga asing di Pusat Beli-belah 1Borneo.

Kedua-dua lelaki itu yang berumur 20 dan 24, merupakan penumpang terakhir pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaafar yang dilaporkan hilang pada Ahad.

Polis berkata kedua-dua suspek mengaku membunuh Hanafiee dan membuang mayatnya di kawasan Tuaran. Motif pembunuhan dipercayai kes samun.

Semalam, Ketua Polis Sabah Omar Mammah berkata pihaknya masih menunggu laporan rasmi punca kematian. Bagaimanapun, beliau mendedahkan Hanafiee, 27, ditikam beberapa kali di dada kanannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Jauteh Dikun, berkata Hanafiee mungkin melawan sebelum dibunuh suspek.

Suspek direman maksimun 7 hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Seorang pengguna Facebook berkata suspek harus digantung di khalayak ramai dan ahli keluarga warga asing itu harus dihantar pulang ke negara asalnya.

“Jika ini berlaku di Thailand, Vietnam atau Hong Kong, percayalah, kamu akan dibunuh orang awam sebelum polis dapat tangkap kamu. Seseorang akan cari kamu,” kata seorang pengguna lain.

Seorang lagi berkata: “Anda merompak RM80, dibahagikan 2, masing-masing dapat RM40 dan anda menggunakan wang itu untuk beli kad tambah nilai untuk buat video ‘live’ ini. Bodoh. Saya harap kamu mati digantung.”

Pengguna media sosial juga menyerang keluarga suspek warga tempatan dengan menyebarkan foto satu pasangan dan seorang gadis yang dipercayai ibu bapa dan adik perempuan suspek.

Ramai daripada mereka menggesa kedua-duanya menjalani hukuman gantung sampai mati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.