Beli peluru berpandu Rusia, AS beri Turki amaran

Beli peluru berpandu Rusia, AS beri Turki amaran

Washington dan Ankara saling berbalah mengenai isu pembelian sistem peluru berpandu S-400 dari Rusia.

Sistem peluru berpandu anti-pesawat S400 buatan Rusia yang mahu dibeli oleh Turki dan menjadi punca ketegangan dengan AS. (Gambar AFP)
WASHINGTON:
Turki akan berdepan sekatan Amerika Syarikat (AS) andai negara itu meneruskan hasratnya mendapatkan sistem peluru berpandu buatan Rusia S-400, lapor agensi berita Xinhua, memetik Jabatan Negara AS pada Rabu.

“Kami bersedia bekerjasama dengan Turki, tetapi negara ini tetap akan menanggung akibat jika penghantaran S-400 itu diteruskan,” kata jurucakap Jabatan Negara, Morgan Ortagus.

“Perkara ini sangat serius dan pendirian kita tetap konsisten,” katanya.

Presiden Donald Trump pada hari sama turut berbincang menerusi telefon dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan berhubung isu terbabit, menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Pengarah Komunikasi Turki, Fahrettin Altun menulis di Twitternya, dalam perbincangan itu Erdogan mengulangi tawaran Turki untuk menubuhkan kumpulan kerja bersama bagi menangani kebimbangan AS mengenai pembelian itu.

Bagaimanapun, kenyataan Rumah Putih tidak menyebut mengenai cadangan terbabit.

Sejak beberapa bulan lalu Washington dan Ankara saling berbalah mengenai isu pembelian S-400.

Turki tidak berganjak dengan keputusannya dan tetap meneruskan kontrak perjanjian dengan Rusia bernilai AS$2.5 bilion.

Laporan CNBC minggu lepas mengatakan Washington memberikan Ankara tempoh 2 minggu untuk membatalkan perjanjian itu atau akan berdepan sekatan dan larangan membeli jet pejuang AS F-35.

Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar pada Isnin menolak laporan kononnya AS memberikan amaran terakhir, sambil menambah S-400 dijadual tiba di Ankara pada bulan berikutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.