Pertama kali dalam negara, 2 beranak mencetuskan “idea gila” apabila berhasrat mewujudkan hotel kapal terbang sejak tiga tahun lepas.

Ia juga dipercayai yang pertama seumpamanya di negara ini.
Kevin Young Thien Sheng, 30, berkata, hasrat untuk membuka hotel unik itu yang menggunakan pesawat Boeing 737-400 dijangka dapat direalisasikan pada awal tahun hadapan, memandangkan beliau baharu “memindahkan” kapal terbang itu ke Sungai Lembing di Kuantan.
Kevin berkata pesawat itu dibeli ayahnya, Young Yeong Long, 61, daripada sebuah syarikat penerbangan yang perlu melupuskan pesawat yang telah melebihi tempoh perkhidmatan.
“Kerja yang paling sukar ialah membawa pesawat dari Selangor ke sini. Kami perlu memotong pesawat kepada beberapa bahagian, menyewa lima buah treler dan dua buah kren untuk mengangkat pesawat pada awal bulan Mei.

Kevin berkata, mereka mengambil masa selama dua bulan merancang ‘perjalanan’ pesawat itu ke Kuantan, supaya kenderaan membawa pesawat itu tidak menganggu aliran trafik khususnya laluan jalan raya Persekutuan sebelum memasuki lebuh raya.
“Paling seronok ialah apabila kami mula memasuki Sungai Lembing. Berita tentang pesawat ini tersebar begitu cepat dan orang ramai beratur di tepi jalan untuk melihat sendiri… suasana begitu meriah ibarat pesta pada hari itu,” katanya.
Beliau, graduan sarjana muda Universiti Lim Kok Wing, enggan mendedahkan jumlah yang dibelanjakan untuk membeli pesawat itu, sekadar senyum dan berkata “sangat mahal” selain perlu mematuhi prosedur yang sangat ketat.

“Saya mahu mengekalkan ciri-ciri pesawat seperti pintu masuk… jadi mungkin satu dua bilik akan menggunakan pintu bagasi sebagai pintu masuk dan ada bilik akan diakses menggunakan pintu masuk penumpang. Ini memberi pengalaman tersendiri kepada pengunjung.
“Bahagian kokpit pula akan dikekalkan supaya semua pengunjung boleh merakamkan kenangan. Tren terkini pengunjung mahu gambar yang cantik untuk dimuatnaik dalam laman sosial khususnya di Instagram,” katanya.
Bagi merealisasikan impian itu, Kevin memberitahu beliau kini “meninggalkan sementara” urusan perniagaannya di Kuala Lumpur kerana mahu seluruh tenaga dan masa ditumpukan kepada pembinaan hotel itu, supaya siap mengikut jadual.

“Ada yang kata lebih murah dan mudah jika kami hasilkan sahaja bangunan berbentuk kapal terbang. Tapi saya tidak mahu kerana perasaannya tidak sama jika dibandingkan dengan menggunakan sebuah pesawat betul,” katanya.
Sejak dua minggu lepas, Kevin berkata rutin hariannya adalah membuka setiap lekapan dalam pesawat bagi mendapat ukuran dalaman sebenar sebelum beliau boleh mereka bentuk dalaman bilik, yang setiap satu akan memiliki bilik air sendiri.

Kevin berkata bagi “melindungi” keunikan hotel itu, mereka sedang mendaftarkan jenama hotel kapal terbang itu dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) kerana berhasrat mahu membuka hotel dengan konsep serupa di lokasi berbeza.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]