Hadi tak mungkin beri arahan jahat, Asri mohon maaf atas catatan pegawai

Hadi tak mungkin beri arahan jahat, Asri mohon maaf atas catatan pegawai

Mufti Perlis merujuk gambar 2 orang yang dikaitkan dengan kes khianat membakar keretanya, yang turut kelihatan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.
PETALING JAYA:
Mohd Asri Zainul Abidin memohon maaf atas catatan pegawainya di Facebook hari ini berkaitan kes khianat membakar kenderaannya, mengatakan gambar yang dimuatnaik bersama catatan itu boleh memberi tafsiran negatif terhadap orang lain.

Mufti Perlis itu merujuk kepada gambar 2 orang yang dikaitkan dengan kes tersebut, yang turut kelihatan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Secara peribadi, saya percaya presiden PAS dengan kedudukan beliau, tidak mungkin memberikan arahan jahat seperti itu. Pihak lain mungkin patut disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asri menjelaskan pendiriannya, mengatakan keberadaan seseorang dalam sesuatu gambar itu tidak menunjukkan dia bersetuju dengan tindakan orang lain dalam gambar yang sama, “apatah lagi di zaman ini yang manusia kegilaan bergambar terutama bersama tokoh dan individu yang ternama”.

“Namun, jika tindakan seseorang itu terbukti berasaskan cadangan atau hasutan seseorang tokoh, maka barulah tokoh itu bolehlah dikaitkan,” katanya.

Asri berkata walaupun terdapat banyak laporan mengenai kes khianat itu, orang ramai wajar menunggu kenyataan polis kerana ada lagi kes lain sedang disiasat.

“Saya mewakili laman ini memohon maaf jika ada persepsi yang salah diberikan sebelum laporan polis dikeluarkan berkaitan isu ini. Kita hendaklah menunggu kenyataan rasmi polis,” katanya.

Terdahulu, seorang pentadbir laman Facebook Asri mempersoal peranan Unit Amal PAS selepas pendedahan penglibatan individu yang mempunyai kedudukan penting dalam parti Islam itu dalam kes tersebut.

Tulisan pegawai Asri tersebut sudah diturunkan sekitar 5.30 petang tadi.

Sementara itu, Jabatan Amal Malaysia berkata gambar orang yang dimuatnaik di Facebook Asri itu bukan suspek utama dalam kes khianat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.