
Menteri Besarnya, Dr Sahruddin Jamal yang maklum mengenai penangguhan projek itu berkata, kerajaan negeri menaruh harapan besar untuk ia dilaksanakan.
“Kita sedia maklum (perjanjian tambahan Malaysia dan Singapura untuk menggantung projek itu), namun harapan kami di Johor agar RTS dapat diteruskan.
“Memang ramai rakyat Johor yang setiap hari bekerja (dan berulang-alik) ke Singapura. Jadi, ia menjadi harapan kami,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Raya Endowmen Universiti Teknologi Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas penangguhan projek RTS yang ditandatangani kedua-dua negara di Singapura, pagi tadi.
Sahruddin berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan pembinaan jambatan ke-3 yang pernah diutarakan bekas menteri besar Johor, Osman Sapian.
“RTS pun kami nak, nak tambah jambatan ke-3 pun dialu-alukan. Apapun pembangunan untuk keselesaan rakyat Johor ulang-alik ke Singapura, kerajaan negeri sangat alu-alukan.”
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata penangguhan itu memberi masa kepada Malaysia mencari kaedah pelaksanaan, termasuk reka bentuk dan kos bagi memastikan tambang RTS berpatutan.
“RTS akan mengatasi masalah kesesakan, memberi kesan positif kepada ekonomi Johor dan bukti Malaysia-Singapura boleh bekerjasama dalam menyelesaikan masalah bersama.
“Diharap kerjasama akan berterusan dalam pembangunan bidang lain dalam semangat kejiranan dan kepentingan bersama,” kata Adun Tenang itu ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, Johor dan Singapura perlu menjadikan kekuatan serta kelebihan untuk kemajuan, termasuk memajukan perkhidmatan feri yang ketika ini menyambung beberapa jeti di kedua-dua negara.
“Saya yakin apabila (RTS) siap kelak, industri pelancongan juga akan menerima kesan baik.”
Terdahulu, 100 pelajar UTM dari keluarga berpendapatan rendah menerima sumbangan raya berupa wang tunai.