Ugut pengarah penguat kuasa MPS, polis buru ‘Man Puchong’

Ugut pengarah penguat kuasa MPS, polis buru ‘Man Puchong’

Pada 28 April lepas, rumah dan kereta pengarah penguat kuasa MPS di Taman Muhibbah, Rawang diserang oleh beberapa lelaki.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis memburu individu bernama Jafni Abdullah atau dikenali sebagai “Man Puchong” bagi membantu siasatan kes ugutan terhadap seorang pengarah penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya sebelum ini telah mengeluarkan arahan supaya individu berkenaan tampil menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bagi membantu siasatan.

“Tiada sebarang tangkapan terbaru dibuat setakat ini manakala individu lain yang ditahan sudah diambil keterangan.

“Setakat ini, ‘Man Puchong’ masih belum tampil untuk membantu siatasan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, pihak polis berjaya menahan 8 lelaki dan 2 wanita yang disyaki terbabit dalam kes ugutan tersebut.

Pada 28 April lepas, rumah dan kereta pengarah penguat kuasa MPS di Taman Muhibbah, Rawang itu diserang oleh beberapa lelaki.

2 kenderaan milik mangsa turut disimbah cat berwarna merah selain tong cat berisi paku, besi dan serpihan kertas dibakar dengan mercun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.